PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui parti itu masih belum menembusi sepenuhnya pengundi muda dan pengundi atas pagar, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Hasbie Muda berkata, kelemahan berkenaan perlu diperbetulkan melalui gerak kerja politik yang lebih berimpak tinggi, kehadiran lapangan yang konsisten dan pendekatan kempen yang lebih segar serrta relevan dengan realiti semasa.
Katanya, Amanah kini perlu berfungsi sebagai jentera yang berkeupayaan memenangi pilihan raya akan datang dan perlu digerakkan berasaskan realiti politik semasa, termasuk kemungkinan senario terburuk pertandingan tiga penjuru di banyak kerusi.
“Pemuda Amanah akan melakukan anjakan paradigma gerak kerja daripada sekadar berperanan sebagai sayap parti kepada sebuah jentera strategik pilihan raya. Fokus akan diberikan kepada pemetaan kerusi sasaran, penumpuan sumber kepada kawasan yang realistik untuk dimenangi serta pembangunan calon setempat yang benar-benar berupaya menang.
“Selain itu, pendekatan kempen yang digerakkan akan bersifat kreatif, tidak klise serta selari dengan budaya dan keperluan pengundi semasa, khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Mohd. Hasbie berkata, sayap parti itu menetapkan sekurang-kurangnya satu negeri dan satu kerusi mesti dimenangi setiap calon Pemuda Amanah dalam pilihan raya akan datang.
“Sasaran ini akan dijadikan asas Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepimpinan Pemuda di peringkat negeri dan kawasan, serta penilaian berterusan terhadap prestasi gerak kerja di lapangan,” jelasnya. – UTUSAN










