Rakyat wajar diberi peluang tentukan hala tuju ibu kota

Rakyat wajar diberi peluang tentukan hala tuju ibu kota

RAJA AHMAD ISKANDAR FAREEZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengundi di Kuala Lumpur wajar diberi peluang menentukan sendiri tadbir urus dan hala tuju ibu kota melalui pemerkasaan demokrasi peringkat tempatan termasuk cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Naib Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, nasib dan masa depan Kuala Lumpur sepatutnya ditentukan oleh warga kota yang menetap, bekerja dan membina kehidupan di bandar raya itu sendiri, bukannya orang luar seperti bekas Exco Negeri Melaka.

“Pengundi di Kuala Lumpur wajar diberi peluang menentukan sendiri tadbir urus dan hala tuju ibu kota. Inilah semangat utama di sebalik cadangan pemerkasaan demokrasi di peringkat tempatan.

“Isu setempat dihadapi penduduk di kawasan seperti Kerinchi, Kampung Bharu, Kampung Datuk Keramat, Setapak dan Bandar Seri Permaisuri tidak semestinya difahami oleh wakil rakyat di luar Kuala Lumpur.

“Dengan memberi peluang kepada warga kota memilih kepimpinan peneraju pentadbiran ibu kota, suara dan keperluan penduduk tempatan dapat diangkat dengan lebih berkesan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemerkasaan demokrasi tempatan juga menggalakkan penglibatan komuniti khususnya anak muda sebagai penggerak utama dalam membina penyelesaian dan masa depan kawasan mereka sendiri.

Katanya, struktur pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur berbeza dengan negeri-negeri lain kerana kota raya ini tidak mempunyai perwakilan di peringkat negeri seperti Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebaliknya, Kuala Lumpur ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak dipilih rakyat. Urusan perkhidmatan kawasan dan aduan penduduk pula tertumpu kepada 11 Ahli Parlimen yang perlu berkhidmat untuk 1.98 juta penduduk.

“Berbeza dengan negeri-negeri seperti Perlis (285,000), Melaka (998,00), Negeri Sembilan (1.199 juta) dan Terengganu (1.149 juta) yang mempunyai populasi lebih rendah tetapi dilengkapi dengan Ahli Majlis dan wakil rakyat negeri masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh untuk mengkaji cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Katanya, perbincangan berkenaan dasar baharu perlu berlandaskan fakta dan penilaian menyeluruh bukan sentimen perkauman.

“Suara pengundi tidak sepatutnya dipinggirkan dalam pentadbiran Kuala Lumpur. Jika pengundi di Merlimau berpeluang memilih wakil rakyat yang kemudiannya dilantik menjadi ahli pentadbiran negeri mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×