Isteri diuji suami hampir lupa ibu kandung

Isteri diuji suami hampir lupa ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSTATUS suami bukan bermakna seorang lelaki itu terlepas daripada tanggungjawab sebagai anak.

Gelaran boleh bertambah, peranan juga boleh berkembang, tetapi amanah dan tanggungjawab terhadap orang tua terutama ibu kandung tidak pernah berkurang.

Apatah lagi apabila lelaki itu adalah satu-satunya tempat bergantung bagi seorang ibu.

Sebagai isteri pula, tugas mereka bukan mengambil alih tempat seorang ibu, bukan juga pesaing untuk mendapatkan kasih sayang.

Tetapi tugas seorang isteri antara lain juga mengingatkan suami agar tidak mengabaikan ibu.

Bukan niat untuk mencampuri urusan, tetapi tanda memahami amanah dalam perkahwinan itu sendiri.

Minggu ini saya kongsikan kisah Suzana, (bukan nama sebenar), yang diuji apabila suami berubah dan lupa asal-usul selepas berkahwin.

Dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini, Suzana berkata kisah itu kini hampir lapan tahun berlalu. Namun setiap satunya masih tersimpan rapi dalam ingatannya, seolah-olah baru semalam berlaku.

Menurut Suzana, dia tidak berniat untuk membuka aib keluarga sendiri, tetapi lebih kepada pengajaran.

Ini terutamanya bagi pasangan yang masih mempunyai ibu bapa.

Bercerita lanjut kata wanita berusia pertengahan 40-an ini, bukan semua perubahan atau kelalaian seorang lelaki terhadap ibu berpunca daripada isteri.

“Masyarakat sering salah anggap dan menuding jari kepada isteri sekiranya seorang suami itu lupa atau mengabaikan orang tua selepas mereka berkahwin.

“Hakikatnya, tidak benar. Ada lelaki yang berubah kerana sikap mereka sendiri,” ujarnya.

Bercerita lanjut kata Suzana, sejak di awal perkahwinan dengan suami, Farid (bukan nama sebenar) dia berusaha mengingatkan suami tentang tanggungjawab seorang anak lelaki kepada ibu.

Menurut Suzana, dia percaya isteri yang baik bukan membuatkan suami lupa dan lari daripada tanggungjawab, tetapi terus menjaga hubungan baik dengan orang tua.

Mengimbas di awal perkahwinan, kata Suzana dunia yang baru mereka bina terasa indah dan sempurna

Tetapi tanpa disedari, dalam kesibukan mengejar bahagia, suami menjauhkan diri daripada insan yang selama ini melahir dan membesarkannya.

Kata Suzana, sejak berkahwin dia tahu, dia tidak hanya berkahwin dengan seorang lelaki, tetapi menjadi menantu kepada seorang ibu tunggal dan isteri kepada satu-satunya anak lelaki dimiliki.

Ibu mentua membesarkan suami sendirian, tanpa kasih sayang seorang bapa sejak berusia lima tahun.

Menurut Suzana, dia mengetahui kisah itu sejak awal perkenalan dengan suami.

Disebabkan itu juga dia sentiasa meletakkan ibu mentuanya di tempat paling istimewa dalam hidup mereka.

Namun selepas berkahwin suaminya berubah dan terlalu mahu membuktikan dia mampu menjadi suami yang sempurna dan bapa yang bertanggungjawab.

Tanpa disedari, suami menjauhkan diri daripada peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang anak lelaki kepada seorang ibu.

Pada awal perkahwinan suami masih menghubungi ibu sekali-sekala.

Namun lama kelamaan, dia semakin jarang membuat panggilan bertanya khabar.

Panggilan ibu sering dibiarkan tidak berjawab berhari-hari lamanya.

“Setiap kali dapat dihubungi, dia memberi alasan kerja dan keletihan. Suami seolah-olah terlalu tenggelam dalam bahagia yang kami sedang bina.

“Segala perhatian, masa dan tenaganya dicurahkan sepenuhnya kepada saya dan keluarga” ujarnya.

Tanpa sedar katanya, ibu yang dahulu melahirkan, menjadi tempat bermanja dan bergantung semakin jarang dihubungi.

Kata Suzana, suami semakin jarang menghubungi ibu apalagi hendak pulang menziarahi dengan alasan sibuk dan penat bekerja.

Menurut Suzana, dia cuba menegur dan mengingatkan suami tentang tanggungjawabnya sebagai anak lelaki tunggal.

Namun suami sering memberi alasan sama, kesibukan dan tidak mempunyai masa.

Hari demi hari, kehidupan mereka sekeluarga kelihatan sempurna di mata orang lain.

Namun dalam diam, kerjaya suami mula goyah.

Di tempat kerja tekanan semakin berat.

Rezeki terasa sempit, walaupun usaha suami tidak pernah berkurangan.

Projek yang dikendalikan gagal.

Rakan sekerja mula menjauh, majikan mula mempersoalkan keupayaannya.

Ketika pulang ke rumah emosi suami sering tidak stabil dan mudah marah.

Kemuncak kesedaran suami datang apabila menerima panggilan daripada sepupu yang tinggal di kampung memberitahu ibu dimasukkan wad.

“Buat pertama kali saya melihat suami mengalirkan air mata sebaik melihat keadaan ibu.

“Suami mula mencari di mana silapnya. Suami hairan, sedangkan dia berasakan sudah melakukan segala-galanya dengan betul.

“Alhamdulilah suami mulai sedar, keberkatan hidup yang hilang bukan kerana kurang usaha tetapi kelalaiannya sendiri,” ujarnya.

Selepas hari itu, Suzana melihat perubahan yang tidak dibuat-buat oleh suami.

Suami tidak lagi menangguh untuk memujuk ibu supaya tinggal bersama.

Menurut Suzana, tiga tahun ibu bersama mereka. Tiga tahun itu jugalah dia menyaksikan perubahan seorang anak.

Kata Suzana, suami mula belajar menyeimbangkan peranan, sebagai suami dan bapa tanpa melupakan tanggungjawab sebagai anak lelaki.

Perlahan-lahan kerjaya suami kembali pulih. Rezeki semakin bertambah dan fikiran lebih lapang.

Menurut Suzana, suami akhirnya paham membina keluarga baharu, bukan alasan untuk melupakan ibu.

“Saya sangat-sangat bersyukur kerana akhirnya suami kembali kepada fitrah sebagai seorang anak lelaki yang memahani peranan dan amanahnya.

“Cara suami memuliakan ibu sehingga nafasterakhir sangat-sangat saya kagumi.

“Suami menyediakan keperluan ibu tanpa disuruh, menemani ibu berbual dan memastikan setiap keperluan ibu dipenuhi,” ujarnya.

Sambung Suzana, hidup sebumbung mengajar dirinya lebih sabar, menghormati dan menilai kasih sayang seorang ibu dari sudut lebih dekat.

“Bukan mudah, tetapi tiga tahun itu adalah hadiah Allah kepada kami sekeluarga sebelum ibu mentua meninggal dunia pada lapan tahun lalu,” ujarnya.

Sesungguhnya berbakti kepada orang tua merupakan perintah yang disebutkan oleh Allah SWt melalui firmanNya, ‘Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan sesuatupun.

Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, karib -kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat, teman sejawat dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri’ – (Surah An Nisa ayat 36)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×