TEBING BARAT: Israel akan menghentikan puluhan organisasi bantuan yang beroperasi di Gaza dalam tempoh 36 jam kerana gagal memenuhi syarat baharu untuk menyerahkan butiran peribadi kakitangan Palestin dan antarabangsa yang ditempatkan di wilayah itu.
Senarai kumpulan terjejas akibat tindakan itu merangkumi beberapa pertubuhan kemanusiaan paling terkenal di dunia seperti ActionAid, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan Médecins Sans Frontières (MSF).
Pengumuman pada Selasa oleh Kementerian Hal Ehwal Diaspora itu dibuat ketika ribut kuat sejak beberapa hari kebelakangan ini memusnahkan ribuan khemah di Gaza, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah sedia buruk di wilayah itu.
Pegawai Israel mendakwa, pihaknya sudah memberikan amaran kepada organisasi bantuan mengenai keperluan pendaftaran baharu dan kira-kira 15 peratus pertubuhan yang beroperasi di Gaza tidak diperbaharui permit mereka.
“Organisasi kemanusiaan yang gagal memenuhi keperluan keselamatan dan ketelusan akan digantung lesen mereka,” kata kementerian itu.
Katanya, organisasi yang enggan menyerahkan senarai pekerja Palestin bagi menolak sebarang kaitan dengan keganasan, menerima notis rasmi pembatalan lesen bermula 1 Januari.
Pegawai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini menegaskan ketetapan baharu tersebut bercanggah dengan undang-undang perlindungan data Eropah, dan berpotensi membahayakan keselamatan kakitangan mereka.
Menteri luar dari 10 negara menyuarakan ‘kebimbangan serius’ terhadap kemerosotan semula keadaan kemanusiaan di wilayah musnah itu, selain menyifatkan situasi tersebut sebagai bencana.
“Ketika musim sejuk semakin hampir, orang awam di Gaza berdepan keadaan yang amat mengerikan dengan hujan lebat serta suhu semakin menurun,” menurut kenyataan bersama menteri-menteri dari Britain, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden dan Switzerland yang dikeluarkan Pejabat Luar Britain pada Selasa.
Kenyataan itu turut menegaskan 1.3 juta orang masih memerlukan sokongan perlindungan segera, dengan lebih separuh daripada kemudahan kesihatan hanya berfungsi sebahagian dan kekurangan peralatan serta bekalan perubatan penting.
Menteri negara tersebut turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsi untuk meneruskan kerja mereka di Gaza, termasuk mendedak sekatan Israel terhadap import barangan dwi kegunaan ditarik balik.
Ratusan barangan disekat oleh Israel daripada memasuki Gaza atas alasan ia mungkin digunakan Hamas untuk membina semula terowong atau bagi tujuan ketenteraan.
Mereka turut menggesa pembukaan lintasan sempadan bagi meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menyatakan laluan pergerakan barangan masih ditutup atau dikawal ketat untuk tujuan bantuan kemanusiaan termasuk Rafah.-AGENSI










