BN janji had jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal - Utusan Malaysia

BN janji had jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Manifesto BN sambil diiringi Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Dewan Utama UMNO Sabah, Kota Kinabalu, Sabah semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri maksimum dua penggal dan tawaran pendidikan percuma untuk pelajar Sabah serta kewujudan Dana Kemakmuran Negeri Sabah adalah antara tawaran manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Perkara itu terkandung da­lam tawaran ‘BN Rancangan Pembangunan Sabah Satu’ yang mengandungi enam teras merangkumi ­ ekonomi rakyat, wanita dan orang muda, pendidikan, transformasi politik, negeri kebajikan dan kelesta­rian sumber.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto itu merupakan komitmen untuk mengembalikan Sabah ke landasan sebenar, khususnya menyelesaikan masalah tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan api yang sering kali membelenggu negeri ini.

Katanya, manifesto juga menjadi satu perubahan besar (game changer) khususnya apabila BN berjanji memperkasakan Mahkamah Anak Negeri termasuk menjadikannya sebagai jawatan tetap.

“Terdapat satu per lima pengangguran di Malaysia ini disumbangkan oleh Sabah. Erti­nya kira-kira hampir 20 peratus daripada pengangguran di Malaysia datang dari Sabah. Sebanyak 169,000 penganggur ini adalah dari Sabah.

“Justeru, BN memberi penekanan terhadap pembangunan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berimpak tinggi bagi memastikan anak muda Sabah memiliki kemahiran relevan yang boleh membuka peluang pekerjaan baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN semalam.

Dalam pada itu, Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak berkata, BN berjanji untuk mengehadkan tempoh maksimum dua penggal untuk jawatan Ketua Menteri dan menambah enam Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) lantikan mewakili golongan minoriti.

Katanya, BN menawarkan penubuhan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengawasi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk berkaitan hak autonomi serta melaksanakan keputusan mahkamah berkaitan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, BN menawarkan penubuhan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang demi generasi masa depan ne­geri.

“Selain itu, BN menuntut pelantikan wakil Sabah dalam setiap syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan. BN juga berjanji melaksanakan semakan kepada 35 peratus jumlah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan manifesto itu.

Mohd. Salleh berkata, BN menjanjikan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar B40 di institut pengajian tinggi (IPT)mlik kerajaan negeri serta menawarkan pemberian insentif sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 kepada anak negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×