KUALA LUMPUR: Keperluan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gohtong Jaya, Genting Highlands bagi mengurangkan masa respons yang cepat selama 10 minit ke lokasi kecemasan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. Noor Azman Taib berkata, balai bomba dengan kos projek RM68.3 juta ini akan dilengkapi dengan 40 unit kuarters kediaman yang mampu memberi manfaat kepada lebih 20 juta penduduk dan pelancong yang berkunjung ke kawasan Genting Highlands.
Katanya, ini sekali gus memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan pengurusan risiko di kawasan tersebut.
“Berdasarkan kajian risiko kebakaran dan penyelamatan, sekurang-kurangnya 20 insiden kebombaan direkodkan setiap tahun di kawasan ini, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak bagi pembinaan balai baharu.
“Jika sebelum ini masa respons terhadap penggila kecemasan mengambil masa kira-kira 25 minit untuk balai bomba sedia ada iaitu BBP Genting Highlands untuk tiba di lokasi disebabkan jarak dan keadaan geografi berbukit.
“Dengan adanya balai bomba ini kelak, kita berharap dapat memenuhi masa respons selama 10 minit mengikut piawaian antarabangsa,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat serta Kuarters Gohtong Jaya di sini, hari ini.
Menurutnya, projek dijangka siap November 2027 turut memberi manfaat lebih luas meliputi kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi serta sempadan Batang Kali dan Selayang, Selangor, yang berada dalam lingkungan tanggungjawab operasi balai baharu berkenaan.
Katanya, projek tersebut sedang dilaksanakan mengikut jadual dan kini berada di peringkat kerja tapak selepas kerja-kerja pembersihan kawasan dimulakan susulan majlis pecah tanah beberapa bulan lalu.
“Sebaik kelulusan pelan bangunan diperoleh, pembinaan fizikal akan diteruskan dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
“Pembinaan projek bernilai RM68.378 juta itu dilaksanakan melalui model pembiayaan pintar (smart financing) yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan dan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Genting Malaysia Berhad.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, RM39 juta dibiayai oleh kerajaan manakala RM29.378 juta lagi disumbangkan oleh Genting Malaysia Berhad di bawah inisiatif CSR mereka.
“Ini kali pertama pendekatan menyeluruh sebegini dilaksanakan dalam memastikan aspek keselamatan di kawasan peranginan tanah tinggi dapat ditingkatkan,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, balai baharu itu akan dikategorikan sebagai Balai Bomba Gred C dan menempatkan 27 anggota sepenuh masa, berbanding struktur semasa di kawasan Genting yang masih bergantung kepada balai sedia ada di luar zon peranginan.
“Cabaran geografi dan ketiadaan kuarters kekal sebelum ini menyukarkan penempatan anggota sepenuh masa.
Dengan kemudahan baharu ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kesiapsiagaan operasi, malah memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan kuarters kekal turut memberi tumpuan kepada keperluan sosial dan keluarga anggota termasuk kemudahan asas seperti pasar, sekolah serta akses kepada kemudahan awam di kawasan sekitar Genting.– UTUSAN









