KPKT perkenal dua dasar baharu perkukuh reformasi kebersihan awam

KPKT perkenal dua dasar baharu perkukuh reformasi kebersihan awam

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan dua dasar baharu dalam memastikan berlakunya reformasi kebersihan awam menjelang 1 Januari tahun hadapan. 

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dua dasar utama itu adalah penguatkuasaan kebersihan tandas awam serta hukuman kepada pembuang sampah. 

Katanya, tindakan itu bagi memastikan kawasan persekitaran dan kemudahan awam berada dalam keadaan terbaik terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). 

“Dasar pertama adalah menetapkan semua tandas awam di 20 kawasan bandar raya termasuk restoran, kafe dan premis makanan dan minuman (F&B) perlu mencapai piawaian Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) sebelum lesen perniagaan diperbaharui.

“Saya telah keluarkan notis tiga tahun pada 2023 bagi memberi tempoh kepada semua pengusaha memastikan tandas mereka memenuhi piawaian ditetapkan sebelum proses pembaharuan lesen perniagaan. Kebersihan tandas kini menjadi satu kewajipan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat KPKT tahun 2025 di sini, hari ini. 

Tambah Kor Ming, dasar kedua pula membabitkan hukuman tegas kepada individu yang membuang sampah merata-rata, dengan denda maksimum RM2,000 di bawah bidang kuasa mahkamah. 

“Mereka yang disabitkan kesalahan turut boleh dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam. Skop hukuman khidmat masyarakat termasuk menyapu jalan, membersihkan longkang atau membantu mencuci tandas awam,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan kempen-kempen awal sebelum dasar ini dilaksanakan telah mula menunjukkan hasil positif. 

“Sehingga kini, sebanyak 12,000 tandas awam di sekolah, pasar, taman awam dan medan selera berjaya dinaik taraf, dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memperoleh penarafan lima bintang dari aspek kebersihan awam.

“Peningkatan turut dapat dilihat di pelbagai medan selera Madani yang dipertingkatkan melalui peruntukan yang diberikan. 

“Walaupun ruang penambahbaikan masih ada, dengan keazaman dan tekad Kerajaan Madani, kita mahu pastikan kemudahan asas rakyat sentiasa dipertingkatkan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, KPKT telah mengemukakan 13 inisiatif dalam Belanjawan 2026 kepada Kementerian Kewangan bagi memperkukuh agenda kebersihan persekitaran negara.

Katanya, antara cadangan utama ialah peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi melaksanakan 10,000 projek infrastruktur awam sempena VM2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN