PETALING JAYA: Susulan hujan lebat berterusan di ibu negara hari ini, beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang turut dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, antara lokasi yang terlibat pokok tumbang ialah Jalan Ang Seng 4, Brickfields melibatkan kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan Jalan Hang Tuah pada pukul 09.24 pagi.
Kejadian sama diterima BBP di Jalan Langgak Golf, Taman U Thant pada pukul 11.10 pagi.
Selain itu, satu kejadian serupa dilaporkan di Jalan Kiara 5, Desa Kiaramas membabitkan BBP Sri Hartamas pada pukul 5.45 petang tadi.
“Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Blok C Pangsapuri Kos Rendah, Jalan Sepadu 6, Taman United-BBP Seputeh pada pukul 11.02 pagi.
“Kami juga menerima panggilan tanah runtuh di Jalan Maarof, Bangsar membabitkan BBP Pantai pada pukul 11.20 pagi, diikuti Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya, Bangsar pada 3.24 petang.
“Selain kejadian sama berlaku di Flat Sri Lempah, Lorong Jugra, Jalan Klang Lama melibatkan BBP Sri Petaling pada pukul 4.32 petang,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










