SAYA baru sahaja pulang dari mendapat rawatan selama seminggu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.
Allah menguji saya baru-baru ini apabila terjatuh di atas kaki lima sebuah kedai runcit di Kangar kerana lantai licin.
Akibat kejadian tersebut, kepala lutut saya cedera dan perlu membuat pembedahan.
Saya mendapat rawatan di HTF. Ini merupakan kali pertama saya masuk wad hospital setelah usia menghampiri 76 tahun.
Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah sifat kemesraan dan sopan santun yang diberikan oleh semua petugas di HTF tersebut dari peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan termasuk para doktor pakar.
Selama seminggu di HTF, saya melihat sendiri begitu gigih sekali para petugas menjalankan tugas tidak kira siang mahupun malam.
Walaupun saya tidur di atas katil bertilam lembut dalam wad, saya sendiri berasa letih melihat kesibukan tugas para petugas tersebut, tetapi mereka tidak langsung menunjukkan sebarang keletihan semasa bertemu pesakit.
Wajah mereka sentiasa ceria dan mengukir senyum setiap kali berinteraksi dengan para pesakit, walaupun masa sudah larut malam.
Syukur Alhamdulillah, biarpun kali pertama kehadiran saya untuk mendapat rawatan di hospital, hadir saya di HTF mendapat layanan yang amat menyenangkan.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua para petugas di HTF.
Justeru, saya ingin menyarankan kepada setiap rakyat Perlis yang memerlukan rawatan perubatan, datanglah ke HTF Kangar yang memberi perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.
Kita perlu sedar, setiap kehadiran kita di hospital untuk menyembuhkan penyakit dan pihak hospital akan memberi rawatan terbaik untuk kita.
Percayalah, HTF tidak akan melepaskan seseorang pesakit pulang ke rumah selagi mereka yang dirawat tidak benar-benar sembuh.
Biarlah kita masuk hospital dengan kedukaan kerana sakit, tetapi kemudiannya pulang bersama kegembiraan apabila penyakit sudah hilang. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL,
Kangar, Perlis










