PETALING JAYA: Terdapat beberapa maklumat baharu yang boleh membantu siasatan berhubung kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada 2013.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, dapatan itu diperoleh selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengadakan pertemuan dengan peguam yang mewakili keluarga Wan Ahmad Faris pada 1 Oktober lalu.
“Siasatan lanjut sedang berjalan dan peguam ada memberitahu beberapa maklumat yang boleh membantu siasatan lanjut kes ini. AGC akan mengambil tindakan mengenainya.
“Apa maklumat tersebut, saya tidak boleh nyatakan di sini tetapi dikatakan maklumat tersebut boleh membantu dalam aspek siasatan kes,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 29 September lalu, AGC memaklumkan sedia bertemu keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar tah z yang dipercayai mati dibunuh pada Disember 2013.
Tindakan itu selepas peguam kepada keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris menghantar surat kepada Peguam Negara bagi mengadakan pertemuan untuk mendapatkan perkembangan terkini kes kematian pelajar tah z itu selepas siasatan dibuka semula.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas.
Mayat dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas.
Pakar forensik yang melakukan bedah siasat mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti. – UTUSAN










