PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Siasatan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dijangka akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada waktu yang bersesuaian bagi membantu siasatan.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Mohd. Dusuki berkata, siasatan dijalankan jawatankuasa khas berkenaan tidak melibatkan sebarang elemen atau unsur jenayah.
Sebaliknya katanya, siasatan tertumpu kepada isu pemilikan saham membabitkan Azam seperti dinyatakan dalam kenyataan media Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum ini.
“Jawatankuasa khas ini akan meneliti segala maklumat, dokumen serta transaksi berkaitan urusan pemilikan saham berkenaan sebelum membuat penentuan.
“Ia termasuk menilai sama ada wujud pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau mana-mana peraturan lain yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan, Jawatankuasa khas ini akan memastikan segala siasatan adalah adil dan telus.
“Ia demi keadilan kepada semua pihak termasuk pegawai berkenaan yang disiasat,” katanya.
Kelmarin, Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah mengambil beberapa langkah bagi tujuan siasatan.
Sebagai langkah permulaan, mereka sedang mengumpul maklumat berkaitan kes ber-kenaan.
Jumaat lalu, Mohd. Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan itu selain jawatankuasa berkenaan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan dilaporkan berkata, jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya.
Media Antarabangsa Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang akbar baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau dilaporkan berkata perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lepas sudah dilupuskan dalam tahun sama.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyiasat dakwaan itu. – UTUSAN










