Ibu bersyukur perjuangan lebih sedekad bela Wan Ahmad Faris berjaya

Ibu bersyukur perjuangan lebih sedekad bela Wan Ahmad Faris berjaya

RUHANI Hussain (kiri) bersama suami bersyukur selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan menolak permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman dan tuntutan yang difailkan oleh keluarga. -UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ibu kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada 2013 lalu menangis kesyukuran selepas perjuangan lebih sedekad membela anak lelakinya memasuki fasa baharu, apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman berkaitan kematian anaknya.

Ruhani Hussain, 71, berkata, keputusan itu memberi sinar harapan kepada keluarga untuk terus menuntut keadilan selepas lebih sedekad menanti perkembangan kes tersebut.

“Sebagai ibu, saya hanya mahukan kebenaran dan keadilan ditegakkan terhadap apa yang berlaku kepada anak saya. Setelah sekian lama saya menunggu keadilan, Alhamdulillah, Allah telah bagi kepada saya, syukur sangat dan keputusan hari ini (semalam) memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak notis permohonan defendan yang memohon supaya saman dan tuntutan pihak plaintif dibatalkan atas alasan ia telah melepasi tempoh had masa.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Mohd. Rosli Yusoff selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Mohd. Rosli dalam keputusannya memaklumkan bahawa kes berkenaan bukanlah satu kes yang “plain and obvious” untuk dibatalkan secara ringkas, sebaliknya perlu diteruskan ke perbicaraan penuh.

Pihak plaintif diwakili barisan peguam terdiri daripada Surendra Ananth, Dr. Zulqarnain Lukman, Kelvin Ng Sin Huat, Lim Yin Shan dan Abby Si Xinyi, manakala defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb serta Siti Syuhada’ Alwi.

Susulan keputusan itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 18 Mei ini manakala perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 7 April 2027.

Utusan Malaysia pada 20 Ogos tahun lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN