Kes Wan Ahmad Faris: Keluarga tunggu jawapan Peguam Negara

Kes Wan Ahmad Faris: Keluarga tunggu jawapan Peguam Negara

PERJUANGAN keluarga menuntut bela atas kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman masih berjalan walaupun kejadian tersebut sudah 12 tahun berlalu. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Peguam yang mewakili keluarga pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang dipercayai mati dibunuh pada Disember 2013, masih me­nunggu maklum balas daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhubung permohonan mengadakan pertemuan.

Peguam Dr. Zulqarnain Lukman berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada pejabat Peguam Negara pada 12 September lalu, namun sehingga kini belum menerima jawapan.

“Kami hantar surat untuk mengadakan pertemuan tetapi masih belum ada sebarang maklum balas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, peguam yang mewakili keluarga pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris sedia mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara.

Pertemuan itu bagi membolehkan barisan peguam yang dilantik mendapatkan maklum balas mengenai siasatan semula yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Allahyarham.

Zulqarnain berkata, sejak kertas siasatan kes Wan Ahmad Faris dibuka semula pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan kes tersebut.

“Setakat ini kami hanya dimaklumkan PDRM sedang giat mengambil keterangan daripada pihak-pihak terlibat termasuk peguam asal yang pernah mewakili keluarga semasa prosiding inkues dahulu.

“Alhamdulillah, nampaknya siasatan kali ini lebih menyeluruh berbanding siasatan terdahulu,” katanya.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan tergantung dalam tandas asrama sekolah, namun laporan bedah siasat ketika itu mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.

Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan pelajar itu sebenar­nya dibunuh oleh individu yang masih belum dikenal pasti identitinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×