SANDAKAN: Sebanyak 10 buah rumah terjejas akibat banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah Tongod di sini malam tadi.
Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tongod, Yuesri Ismail Yusof berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 11 malam selepas hujan lebat berterusan sejak petang.
Menurut laporan awal JPBD, kejadian banjir melibatkan kawasan Kampung Bangkulat dan Kampung Lalaut dengan kira-kira 10 buah keluarga terjejas.
“Paras air mula naik selepas hujan lebat bermula pukul 5.30 petang hingga 10 malam.
“Setakat awal pagi ini, air banjir telah surut namun terdapat laporan dua mangsa masih hilang dan operasi pencarian sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemantauan akan diteruskan manakala jumlah kerugian dan angka sebenar mangsa banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – UTUSAN











