JAKARTA: Indonesia memperkenalkan kaedah hidangan bufet di sekolah menerusi program Makanan Percuma Berkhasiat (MBG) bagi mengurangkan pembaziran makanan.
Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan Indonesia (BGN), Sudaryono, berkata pendekatan itu turut meningkatkan pengambilan makanan dan kebersihan di beberapa lokasi pelaksanaan program berkenaan.
“Saya mendapati pendekatan ini meningkatkan kadar pengambilan makanan dan kebersihan di beberapa lokasi. Hasilnya, orang ramai berpuas hati,” katanya di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, kaedah bufet membolehkan pelajar mengambil makanan mengikut selera dan keperluan masing-masing, sekali gus mengurangkan lebihan makanan.
Pelajar yang memerlukan hidangan lebih banyak juga boleh mengambil tambahan selagi bekalan makanan mencukupi, katanya.
Sudaryono menegaskan perubahan kaedah penyajian itu tidak akan menjejaskan peruntukan bagi setiap hidangan yang kekal sebanyak 15,000 rupiah (kira-kira RM3.40).
Sudaryono berkata, agensi itu melaksanakan projek perintis kaedah hidangan bufet di 66 lokasi di seluruh Indonesia, termasuk di Jawa, Aceh, Sumatera Selatan dan Papua Selatan.
“Buat masa ini, kami memberi tumpuan untuk memastikan fasa percubaan berjalan lancar supaya sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan diatasi,” katanya.
Agensi itu menyasarkan kaedah penyajian berkenaan diperluaskan secara berperingkat kepada 5,000 dapur MBG menjelang akhir 2026.
Mengulas kebimbangan bahawa sistem baharu itu boleh menambah beban tugas sekolah, Sudaryono menegaskan pelaksanaannya hanya akan dilakukan dengan persetujuan pihak sekolah.
Beliau berkata, banyak sekolah menunjukkan minat untuk menggunakan sistem berkenaan, sekali gus menekankan kepentingan menetapkan piawaian pelaksanaan yang seragam.
“Sekolah yang ingin menggunakan sistem bufet perlu mendaftar dengan kami terlebih dahulu supaya latihan dapat diberikan dan tahap kesediaan mereka dinilai. Pelaksanaan hanya boleh dimulakan selepas kami mengesahkan mereka bersedia,” katanya.- ANTARA











