PETALING JAYA: Sebuah Masjid di Kampung Nakhoda dan premis di Kampung Laksmana, Gombak yang diserbu pihak berkuasa semalam dipercayai dijadikan pusat ajaran Ahmadiah atau Qadiani oleh warga asing.
Menurut sumber berkata, masjid berkenaan tidak mempunyai kebenaran Majlis Agama Islam bagi melakukan solat jumaat.
Selain, sebuah premis berhampiran masjid berkenaan telah dijadikan tempat warga asing dipercayai dari negara Pakistan untuk berkumpul bagi menyebarkan fahaman berkaitan Qadiani dalam kalangan mereka.
Malah, katanya, terdapat tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai pemimpin ajaran itu di negara ini yang turut disiasat kerana dipercayai membenarkan warga asing menggunakan premis milik mereka untuk menyebarkan fahaman berkenaan.
“Bagaimanapun ketiga-tiga mereka berusia di antara 50 dan 40-an itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
“Kumpulan ini dipercayai generasi ketiga selepas ajaran itu bertapak di negara ini sejak 1998,” katanya kepada Utusan Malaysia
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, enam lelaki warga asing ditahan selepas 184 individu diperiksa hasil dua serbuan itu.
Katanya, mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, dokumen dan bahan berkaitan turut dirampas dalam serbuan sama yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Turut terlibat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Namun, serbuan itu tidak melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, KDN turut mengambil tindakan berhubung kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
MPS pula mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan pelesenan perniagaan dan pembinaan tanpa kebenaran termasuk mengeluarkan notis serta melaksanakan sitaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pemeriksaan oleh JBPM turut mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap aspek keselamatan kebakaran, termasuk kekurangan alat pemadam api dan kemudahan laluan keluar kecemasan di bangunan terbabit.
“Tindakan susulan akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” jelasnya.
Katanya, Polis Kontinjen Selangor akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan, sekali gus memelihara keselamatan serta ketenteraman awam. –UTUSAN











