PETALING JAYA: Seramai 77 individu termasuk 76 wanita warga asing ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Perdana Barat 8 dekat sini semalam.
Serbuan dijalankan Polis Kuala Lumpur itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan dengan kesemua suspek berusia antara 19 hingga 45 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 76 wanita warga asing yang ditahan disyaki berperanan sebagai pelayan di premis berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan atau sebarang kelulusan pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan pusat hiburan
“Polis turut merampas satu keping resit perniagaan, dua unit pembesar suara jenama ASL, satu unit mikrofon jenama BBS dan satu unit DJ Controller jenama Pioneer.
“Kami akan memohon reman terhadap kesemua di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PDRM, khususnya Polis Kuala Lumpur, dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Polis turut menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN











