KUANTAN: Penjenayah lesap, pemilik rumah pula terpaksa menanggung hutang. Itulah nasib pemilik hartanah yang menjadi mangsa penyewa yang menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin haram, sehingga berdepan tuntutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencecah ratusan ribu ringgit.
Tanpa mengetahui rumah sewa mereka dijadikan pangkalan kegiatan mencuri bekalan elektrik, mangsa kini berdepan tuntutan daripada pihak berkenaan sekali gus menjadi beban kewangan yang mampu menjejaskan kehidupan, sedangkan individu yang mengaut keuntungan daripada kegiatan haram itu dipercayai masih bebas.
Lebih membimbangkan, ada antara pemilik rumah yang terpaksa memikirkan cara melunaskan tuntutan berkenaan meskipun tidak mempunyai pendapatan tetap, selain menanggung kerugian akibat kerosakan hartanah yang digunakan untuk kegiatan itu.
Bagi Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman, 35, tuntutan RM91,650 yang dikenakan terhadapnya menjadi beban besar, lebih-lebih lagi selepas dia kini tiada pendapatan tetap selepas diserang strok pada 12 Mei lalu.
Menurutnya, penyewa mula menduduki rumahnya pada 1 April lalu dengan kadar sewa RM850 sebulan bagi tempoh empat bulan sebelum kegiatan perlombongan bitcoin haram itu terbongkar.
Katanya, dia tidak mengetahui rumah berkenaan digunakan untuk kegiatan haram itu, manakala penyewa dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu sebelum menghilangkan diri.
“Sebanyak 15 mesin yang digunakan untuk perlombongan bitcoin disita dari rumah sewa. Saya pula kini perlu berdepan tuntutan TNB yang hampir RM100,000. Saya rasa tidak adil apabila pelaku sebenar menghilangkan diri, sedangkan pemilik rumah yang tidak tahu apa-apa terpaksa menanggung beban itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kosma Business Hotel di sini hari ini.
Rabiatul berkata, tuntutan itu pada awalnya dikatakan mencecah kira-kira RM240,000 sebelum dikurangkan kepada RM91,650 selepas dia berurusan dengan pihak TNB sebanyak dua kali bagi memohon pertimbangan.
Menurutnya, TNB memberikan pilihan pembayaran ansuran selama 18 bulan dengan bayaran RM3,500 sebulan atau tempoh lima tahun dengan bayaran RM1,500 sebulan. – UTUSAN











