Global Sumud Flotilla: 38 kapal belayar ke Gaza dari Teluk Itali

Global Sumud Flotilla: 38 kapal belayar ke Gaza dari Teluk Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 38 kapal dari seluruh dunia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sedang belayar menuju ke Gaza selepas berlepas dari Teluk Itali, semalam.

Difahamkan, kapal-kapal berkenaan ketika ini berada di Laut Mediterranean untuk menuju ke Greece terlebih dahulu sebelum bergabung dengan kumpulan misi GSF lain di sana dan meneruskan pelayaran bersama-sama ke Gaza.

Perkembangan tersebut dikongsikan peserta Malaysia, Zainal Rashid Ahmad menerusi platform TikTok miliknya, ZRA Strim awal pagi tadi.

Katanya, perjalanan mereka baru sahaja memasuki perairan Laut Mediterranean.

“Senja pertama di Laut Mediterranean cukup tenang. Masih ada sembilan lagi senja yang akan kami lalui sebelum sampai ke Gaza,” katanya.

Zainal Rashid berkata, seramai 11 pelayar Malaysia bersama seorang pelayar dari Brunei yang mewakili Sumud Nusantara turut serta dalam misi tersebut.

“Perjalanan dijangka mengambil masa 10 hari untuk tiba di Gaza. Dalam tempoh lima hari, kami akan singgah di Greece terlebih dahulu bagi menyambut rakan-rakan lain yang akan turut serta.

“Kami berharap perjalanan ini selamat. Semoga usaha memecahkan kepungan serta kesunyian yang menjadi tema utama GSF dapat direalisasikan. Malaysia sentiasa bersama Gaza. Semoga misi ini berjaya menembusi kepungan Israel,” katanya.

Secara keseluruhan, GSF melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dengan hampir 70 bot menyertainya.

Misi itu menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat dengan semua delegasi menegaskan pendirian tanpa keganasan serta menjadikan kapal flotilla sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×