PETALING JAYA: Seramai 800 individu telah disenarai pendek untuk menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dijadual bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia, Haikal Zulkefli berkata, saringan itu setelah pihaknya menerima hampir 3,000 permohonan sebaik sahaja pendaftaran dibuka pada bulan lalu.
Katanya, bagi peserta awam proses saringan penuh masih belum dimuktamadkan kerana pihak penganjur mahu memberi peluang lebih luas kepada orang ramai.
“Buat masa ini, kita telah mengenal pasti calon pertama yang akan mengikuti ekspedisi GSF 2.0 bersama misi Sumud Nusantara iaitu pempengaruh terkenal yang sering mengupas berkenaan isu Palestin iaitu Ahmad Faezal.
“Jika tidak ada halangan, kita turut merancang penganjuran Konvoi Darat Asia melibatkan beberapa negara serantau sebagai tanda solidariti.
“Konvoi itu bertujuan menzahirkan sokongan kemanusiaan terhadap bumi Gaza dengan bergerak bagi merempuh benteng penghadang yang dibuat oleh Israel di bumi Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Haikal Zulkefli berkata, pihaknya sedang mencari individu berkelayakan untuk mengisi posisi kapten, timbalan kapten dan jurutera bagi melancarkan persiapan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, jawatan penting itu merupakan antara keutamaan ketika ini bagi memastikan pelayaran misi berjalan lancar, mematuhi aspek keselamatan maritim dan perundangan antarabangsa.
Menurutnya, calon yang terpilih menjadi kapten, timbalan kapten dan jurutera kapal perlu bersiap siaga dengan kemahiran penyelenggaraan kapal.
“Ini kerana kemahiran tersebut akan digunakan pada setiap kali GSF bergerak ke lokasi pelabuhan tertentu.
“Oleh itu proses saringan rapi akan dilaksanakan bagi memastikan hanya calon benar-benar layak menggalas tanggungjawab besar tersebut.
“Skop kerja mereka termasuk menyelaras persiapan akhir serta kerja-kerja penyelenggaraan kapal sebelum pelayaran bermula,” katanya. – UTUSAN










