‘TURUN padang bukan pilihan, tetapi tanggungjawab.’ Itu prinsip dipegang teguh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd. Shafizi Ismail yang aktif menjejakkan kaki ke seluruh pelosok kawasan diwakilinya bagi menyantuni rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu di peringkat akar umbi.

Bagi beliau, kepercayaan diberikan oleh rakyat tidak seharusnya dilihat sebagai mandat biasa, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul secara konsisten, bukan hanya ketika pilihan raya tetapi sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Apabila tiada program rasmi kerajaan, keutamaan saya adalah untuk turun padang. Antara lokasi terbaharu yang saya lawati adalah Kampung Kolam di Mengabang Telipot untuk meninjau kerja pemasangan longkang menjelang Monsun Timur Laut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bukan sekadar meninjau, malah beliau kerap turun padang membawa bersama agensi dan pihak berkaitan agar tindakan susulan dapat dilakukan serta-merta. Pendekatan ini sekali gus mengurangkan birokrasi dan mempercepat proses penyelesaian aduan rakyat.
Isu hakisan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit turut diberikan perhatian serius memandangkan ia telah menghampiri jalan utama, mengancam keselamatan pengguna. Isu itu disampaikan secara rasmi kepada menteri berkaitan dalam satu lawatan tapak terdahulu dan kini dalam perhatian pihak kementerian.
BIODATA
MOHD. SHAFIZI ISMAIL
Umur : 41 Tahun
Pekerjaan: ADUN Batu Rakit
Kelulusan Pendidikan:
Sekolah Rendah di Madrasah Darul Taqwa Batu 6.
Sekolah Menengah di Maahad Darul Quran, Rusila, Marang.
Ijazah Sarjana Muda Islamic Studies (BA – Hons) di European Institute of Human Sciences (EIHS) Wales United Kingdom.
Pengajian Islam di American Open University, Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir.
Talaqqi khas Tafsir Jalalain dengan Syeikh Toha Rayyan di Kaherah Mesir
Talaqqi Ilmu Fiqh di Ruwaq Jamie Al Azhar, Mesir
Jawatan Dalam PAS:
NYD Pas Kawasan Setiu
Bendahari Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT). 2023/2025
Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Rakit.
Penasihat Pas Cawangan Pasir Putih
“Di Kampung Mengabang Panjang pula, saya turun padang bagi meninjau cadangan laluan jalan di kawasan perumahan baharu supaya kemudahan asas ini dapat dimanfaatkan oleh penduduk dalam masa terdekat,” katanya.
NAMPAK KECIL TETAPI KESAN KEPADA RAKYAT
Sejak diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat, Mohd. Shafizi, 41, menzahirkan rasa syukur kerana mencatat beberapa pencapaian utama yang memberi kesan mendalam kepada rakyat, walaupun ada yang tidak begitu menonjol secara fizikal.
“Dua pencapaian paling saya banggakan adalah pembangunan rohani dan penyelesaian isu tanah. Dari sudut rohani, kita berjaya menghidupkan kembali suasana ilmu di masjid dan surau. Majlis ilmu dianjur secara konsisten dan sambutan daripada masyarakat amat memberangsangkan,” ujarnya.
Dari aspek pembangunan material pula, beberapa isu tanah yang tertangguh sejak bertahun-tahun berjaya diselesaikan termasuk kes tanah terkilan, rentahan haram serta pemilikan tanah dan rumah penduduk di Pulau Redang.
Baginya, walaupun nampak kecil, kesannya sangat besar kepada kesejahteraan rakyat. Bila isu tanah selesai, mereka boleh bina rumah, boleh mohon pinjaman dan boleh hidup lebih stabil.
HALA TUJU PEMBANGUNAN
Berhubung perancangan pembangunan kawasan, beliau berkata, hala tuju pembangunan Batu Rakit dirangka secara menyeluruh merangkumi empat sektor utama iaitu pertanian dan penternakan, pelancongan komuniti, pembangunan infrastruktur dan perumahan serta keusahawanan dan ekonomi rakyat.
“Beberapa projek pertanian dan penternakan dirancang di kawasan berpotensi seperti Bukit Lingai dan Pecah Rotan untuk memaksimumkan hasil tanah serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Pada masa sama, potensi pelancongan di Batu Rakit turut digilap dengan tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan tempatan di kawasan Pantai Batu Rakit, Bukit Maras, Pancur Bukit Nenasi serta Pulau Redang.
Beliau turut memberi jaminan bahawa isu perumahan tidak diketepikan, apabila projek Taman Perumahan Mampu Milik sedang dirancang dengan kerjasama kerajaan negeri. Ia bertujuan memastikan rakyat, khususnya golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik.
SISTEMATIK, PANTAS ASAS URUS ADUAN
Dalam soal pengurusan aduan rakyat, pendekatan sistematik dan pantas menjadi asas kepada keberkesanan pentadbiran. Menurut beliau, setiap aduan yang diterima direkodkan dalam senarai nota tugasan dan dipantau status penyelesaiannya.
Beliau turut mengambil maklum tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutama kepada golongan B40 dan miskin tegar. Pejabat Khidmat Masyarakat Batu Rakit telah memperkenalkan bantuan one-off bagi kes-kes kecemasan, selain memastikan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat MAIDAM sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
HARI SABTU UNTUK KELUARGA
Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan masyarakat hampir setiap hari, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sabtu yang diperuntukkan sebagai hari keluarga oleh kerajaan negeri digunakan untuk membawa keluarga bersama menyertai program masyarakat.
“Saya tidak mahu anak-anak hanya kenal saya melalui gambar di poster atau papan tanda. Jadi, saya bawa mereka bersama. Ini masa kualiti yang tidak ternilai,” ujarnya.
Mengulas isu banjir yang kerap melanda kawasan Batu Rakit saban tahun, beliau menjelaskan masalah tersebut berpunca daripada sistem saliran lama dan pembangunan perumahan yang tidak dirancang dengan baik.
Langkah awal yang diambil termasuk menaik taraf longkang, membersihkan sungai tersumbat, menggali parit baharu serta bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjelang Monsun Timur Laut.
Sementara itu, golongan belia turut diberikan perhatian serius dengan pelbagai program pendidikan, kemahiran dan kepemimpinan dilaksanakan.
Antara inisiatif yang dijalankan kelas tuisyen dan motivasi Sijil Pendidikan Malaysia( SPM), bantuan pendidikan tinggi, pinjaman motosikal serta bantuan perniagaan kecil. – UTUSAN










