Tidak semua pemimpin yang diberi peluang memimpin mampu meninggalkan kesan atau impak kepada rakyat yang diwakilinya.
Bagi Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, hakikat itu menjadi sebab utama beliau mahu melahirkan lebih ramai wanita yang bukan sekadar menduduki kerusi dalam parti politik tetapi memberi makna besar dalam pentadbiran negara.

Katanya, politik bukan sekadar soal kedudukan atau nama tetapi tentang sejauh mana seseorang itu mampu memimpin dengan nilai, keberanian dan visi yang jelas.
“Saya percaya wanita ada kekuatan tersendiri yang boleh diterjemahkan kepada impak lebih luas, bukan sahaja dalam konteks komuniti tetapi juga dasar negeri dan negara.
“Kepimpinan wanita tidak boleh dilihat hanya sebagai kuota atau simbol tetapi perlu dinilai daripada kemampuan membina perubahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan utama dalam parti selepas pernah menjadi Timbalan Ketua Wanita Pusat, perjuangan untuk membina kepimpinan wanita tetap diteruskan.
AKADEMI RODZIAH ISMAIL (ARISE)
“Jawatan boleh hilang, tapi tanggungjawab saya terhadap pembinaan wanita tidak boleh saya tinggalkan,” katanya.

RODZIAH ISMAIL
Ahli Parlimen Ampang
Tarikh Lahir:
8 Julai 1964
Tempat Lahir: Ipoh, Perak Darul Ridzuan
Status Perkahwinan: Berkahwin, 3 orang anak dan 3 orang cucu
LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
Julai 1987: Ijazah Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Jun 1985: Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Sept 1999: Sijil Tinggi Kebangsaan dalam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada Scottish Qualifications Authority (Motherwell College)
KERJAYA POLITIK
Nov 2022 – Kini: Ahli Parlimen Ampang, Selangor
Mei 2008 – Ogos 2023: Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor
2008 – Kini: Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR)
2022 – Kini: Ketua Bahagian PKR Shah Alam
2022 – Kini: Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat PKR
2022 – Kini: Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor
Penubuhan Akademi Rodziah Ismail (ARISE) menjadi wadah untuk beliau melatih wanita agar lebih berani memimpin, tidak gentar dengan politik dan mampu berdiri dengan prinsip.
Bagi Rodziah, perjuangan ini lahir daripada pengalaman panjang beliau dalam politik dan urus tadbir, yang sudah mencecah lebih dua dekad.
Beliau mengakui ramai wanita takut menceburi politik, tetapi keyakinan boleh dibina melalui latihan, bimbingan dan galakan.
“Saya mahu lahirkan wanita yang ada aspirasi, integriti, daya tahan, kemahiran sosial dan semangat keusahawanan.
“Itulah antara lima perkara yang menjadi modul utama ARISE dalam membentuk wanita berdaya kepimpinan,” katanya.
AMPANG ADA CABARAN TERSENDIRI
Di sebalik memperjuangkan wanita, fokus beliau sebagai wakil rakyat Ampang tidak pernah diketepikan.
Rodziah berkata, kawasan tersebut mempunyai cabaran tersendiri kerana kawasan itu majoritinya bersifat kediaman, sementara aktiviti ekonominya masih di peringkat sederhana.
Katanya, masih ramai penduduk setempat yang bekerja di luar, berbelanja di luar, menyebabkan hasil ekonomi tidak kekal dalam Ampang.
Oleh itu, beliau mahu menjadikan Ampang Jaya sebuah majlis bandar raya, dengan syarat hasil kewangan dapat diperkukuh.
Selain itu, dua tahun kebelakangan ini beliau memberi tumpuan kepada keceriaan, kebersihan dan pemulihan kawasan rekreasi.
Tiga fokus utama beliau jelas, iaitu keceriaan, rekreasi dan kesihatan, walaupun diakui masih banyak ruang perlu diperbaiki.
SUKA BERKEBUN DI RUMAH
Dalam kehidupan peribadi, Rodziah kini lebih selesa mengisi masa lapang dengan berkebun di rumah.
Baginya, berkebun bukan sahaja menjaga kesihatan tetapi juga membekalkan makanan segar untuk keluarga dan jiran.
“Umur saya 61, jadi kesihatan lebih utama. Bila tanam sendiri, ambil bila hendak makan, ia lebih segar dan bermanfaat,” katanya.
Namun prinsipnya kekal, sama ada dalam kerja atau hobi, beliau tidak suka buat sambil lewa.
Sebagai seorang yang perfectionist, Rodziah terbiasa menetapkan KPI sendiri, memastikan apa sahaja dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Apa yang diharapkan beliau adalah dikenang sebagai wakil rakyat yang meninggalkan jasa, sama ada dalam bentuk pembangunan, kebajikan mahupun penyatuan masyarakat.
“Jika suatu hari nanti saya tiada, cukuplah dikenang sebagai pemimpin yang prihatin dan meninggalkan impak,” katanya. – UTUSAN










