LONGKANG tersumbat, masalah bekalan air, isu kacau-ganggu kera di taman perumahan sehingga ke jalan berlubang atau apa jua sekali pun aduan diterima, pastinya ada sahaja kelibat Gan Ay Ling di lokasi terbabit.
Sosok Ay Ling di Perlis atau spesifiknya di kawasan Indera Kayangan ada sahaja di mana-mana.
Tidak susah bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu dan kadang-kala dilihat, keterampilan dan gerak kerjanya seperti sukarelawan di lapangan.
Disebabkan itu, Ay Ling cukup disayangi penduduk di situ.

GAN AY LING
Umur: 51 tahun
Asal: Negeri Sembilan
Pendidikan:
Sijil Elektronik dan Teknologi Komputer, Politeknik Port Dickson
Diploma Elektronik dan Teknologi Komputer, Politeknik Ungku Omar
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia
Penglibatan
Dalam Politik
ADUN Indera Kayangan (Mei 2018 hingga kini)
Bendahari Wanita PKR pusat (2025 hingga kini)
Timbalan Pengerusi PKR (2023 hingga kini)
Ketua Wanita PKR Perlis (2025 hingga kini)
Naib Ketua Cabang PKR Kangar (2023 – 2025)
Ketika keseluruhan calon daripada Pakatan Harapan (PH) atau PKR tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis, hanya Ay Ling menjadi satu-satunya yang berjaya mengekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat.
Ay Ling mula bergelar wakil rakyat di Indera Kayangan dalam PRU14 pada 2018 dan sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangan di kawasan berkenaan dalam PRU15.
Ay Ling ketika ini, merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang di dalam DUN Perlis.
Jangan terkejut, apabila hampir keseluruhan penduduk di DUN Indera Kayangan mempunyai nombor telefon peribadi Ay Ling yang sentiasa boleh dihubungi pada bila-bila masa bagi mengadu apa jua masalah serta aduan.

Ay Ling berkata, dia mempunyai hubungan cukup rapat dengan warga Indera Kayangan yang sudah dianggap seperti keluarga.
Penduduk daripada pelbagai lapisan umur dan kaum inilah yang menjadi keluarga Ay Ling di Perlis ketika suami dan anak-anak berjauhan.
“Penduduk di sini memang rapat dengan saya dan mereka semua ada nombor telefon saya. Setiap hari, ada sahaja panggilan diterima bagi mengadu sebarang masalah dan aduan. Setiap kali itu juga, saya akan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dibangkitkan itu.
“Sebagai wakil rakyat, kita kena anggap penduduk seperti keluarga sendiri dan perlu produktif dalam menjaga kebajikan mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, penduduk Indera Kayangan kebanyakkan peniaga, bekerja sendiri dengan rata-rata dalam golongan B40.
Ujar beliau, antara isu berbangkit di kawasan berkenaan kelaziman berkaitan masalah infrastruktur, kacau-ganggu, kebersihan dan aduan-aduan berbentuk hak asasi.
“Masalah infrastruktur seperti jalan, longkang dan pengindahan kawasan antara yang kerap kali kita selesaikan. Selain itu, kita menjadi jambatan dengan agensi bagi mempermudahkan bantuan kebajikan dan sebagainya.
“Saya juga banyak bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu daripada segi pembinaan dan baik pulih rumah selain kelengkapan perubatan khususnya kerusi roda dan banyak lagi.
“Boleh dikatakan 90 peratus aduan yang diterima setakat ini berjaya diselesaikan khususnya membabitkan kerja-kerja berkaitan infrastruktur.
“Dalam mengenai pasti masalah penduduk, saya juga menggunakan kaedah mengumpul data bagi memastikan tidak ada rakyat yang tercicir dan sumber bantuan adil,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri.
Sementara itu, katanya, dia tidak terlalu terkesan meskipun menjadi satu-satunya wakil rakyat pembangkang dalam kerajaan di negeri ini.
Katanya, budaya di Perlis ini sedikit berbeza dengan suasana politik tidak terlalu ekstrem di mana pemimpin-pemimpin meskipun daripada pelbagai latar belakang politik mempunyai hubungan baik dan mesra.
“Meskipun daripada segi peruntukan tidak 100 peratus adil namun kita masih boleh duduk sekali berbincang dalam menyelesaikan masalah rakyat. Hubungan dengan kerajaan negeri juga baik demi kepentingan rakyat di Perlis.
“Kita lebih mengambil pendekatan profesional dengan mengelak permusuhan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya cabaran dalam mengekalkan kerusi Indera Kayangan yang juga merupakan kubu kuat PKR, Ay Ling berkata, gerak-kerja perlu sentiasa berterusan selain perlu merendah diri dalam apa jua situasi sekali pun.
“Sentiasa ada bersama rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Beri perkhidmatan terbaik dan rakyat akan memberi kepercayaan kepada kita,” katanya. –UTUSAN









