Muktamar Pas: Rakyat Kedah perlu jadi penerima utama hasil REE - Utusan Malaysia

Muktamar Pas: Rakyat Kedah perlu jadi penerima utama hasil REE

KU ABDUL MUHYI KU ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Pemuda Pas Kedah menggesa Kerajaan Persekutuan merangka pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) secara holistik demi memastikan hasilnya dikembalikan untuk manfaat rakyat negeri.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Ku Abdul Muhyi Ku Abdul Hamid berkata, pembangunan itu merangkumi hala tuju dan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan yang jelas supaya rakyat Kedah menjadi penerima manfaat utama hasil REE dan bukan syarikat kroni atau Kerajaan Persekutuan semata-mata.

“Isu petroleum di Kelantan dan Terengganu yang membabitkan royalti lima peratus di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) wajar dijadikan iktibar dalam pengurusan sumber REE.

“Walaupun perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri jelas menyebut mengenai hak bayaran royalti, namun ia dinafikan sejak sekian lama. Kegagalan menunaikan hak itu memberi pengajaran agar REE tidak mengulangi sejarah sama, sekali gus memastikan hasil bumi negeri tidak dipertaruhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Katanya, dalam sudut perlembagaan, Perkara 74(2) dan Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) dengan jelas menyatakan hasil tanah, hasil bumi, lombong dan hutan adalah hak kerajaan negeri.

“Justeru, hak negeri ke atas REE tidak berbeza dengan sumber mineral lain. Laporan Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) 2023 mendedahkan, Malaysia memiliki sumber REE terbesar di Asia Tenggara, khususnya jenis tanah liat penyerapan ion (AIC) yang berkualiti tinggi, hasil itu berpotensi menjana pendapatan berbilion ringgit setahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×