Perlombongan REE hanya selepas kelulusan kerajaan negeri

Perlombongan REE hanya selepas kelulusan kerajaan negeri

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menekankan bahawa aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) hanya boleh dijalankan dengan persetujuan kerajaan negeri yang mempunyai hak ke atas tanah terlibat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bagaimanapun manfaat ekonomi sebenar yang diperoleh kerajaan negeri menerusi perlombongan itu masih terhad dengan penggunaan kepakaran luar.

Katanya, pembangunan REE perlu dibangunkan melalui rantaian nilai tempatan supaya kerajaan negeri mendapat manfaat ekonomi sepenuhnya.

“REE ini bergantung kepada kerajaan negeri. Mana-mana perlombongan yang hendak berlaku, kalau kerajaan negeri tidak bagi kelulusan, tidak boleh berlaku.

“Kita mahu pastikan bahawa kita tidak sewenang-wenangnya eksport REE ini kerana kita mahu pastikan ada rantaian downstream, mainstream yang berlaku dalam negara. Kalau tidak kerajaan negeri hanya dapat tribute.

“Sebab itu kita tidak mahu kawasan-kawasan (REE) ini, orang datang ke negara kita dan explore perlombongan, kemudian dia bawa keluar dan proses. Kita tidak mahu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai libat urus bersama kerajaan negeri yang melihat pembangunan REE sebagai peluang untuk meningkatkan ekonomi.

Tambahnya, 94 peratus sumber REE yang terletak di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) juga antara cabaran dalam meneroka lokasi sesuai bagi pembangunan industri itu.

“Dasar kerajaan yang melarang perlombongan dalam kawasan sensitif seperti HSK, Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSS), kawasan tadahan air dan zon perlindungan turut mengehadkan pilihan lokasi.

“Langkah ini penting untuk menjamin keselamatan alam sekitar, namun memerlukan pendekatan berhati-hati bagi mengimbangi pembangunan industri dan pemeliharaan sumber semula jadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN