Kelantan teroka potensi REE di Ladang Subong, Gua Musang

Kelantan teroka potensi REE di Ladang Subong, Gua Musang

HILMI Abdullah (kanan) melihat kemudahan yang ada di Kelstone Cosmos Lab di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kini sedang meneroka potensi unsur nadir bumi (REE) di kawasan seluas kira-kira 1,416 hektar di Ladang Subong, Gua Musang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, projek tersebut ketika ini masih berada pada peringkat eksplorasi dan pensampelan.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi Jepun, Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) bagi mengenal pasti potensi sebenar sumber mineral berkenaan.

“Ketika ini projek tersebut masih di peringkat eksplorasi untuk mengenal pasti jumlah hasil serta potensi sebenar deposit REE di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Proses ini membabitkan kerja-kerja pensampelan dan analisis awal bagi menentukan jumlah deposit REE yang terdapat di kawasan berkenaan sebelum sebarang aktiviti perlombongan dijalankan secara komersial,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong, di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi negeri yang berminat untuk terlibat dalam pembangunan sektor REE di Kelantan.

Katanya, proses kelulusan sedang diperhalusi bagi memastikan penglibatan semua pihak dapat dilakukan secara teratur dan mematuhi prosedur ditetapkan.

“Setakat ini, ramai yang berminat dan telah menghantar cadangan kertas kerja (proposal) tanpa henti yang membabitkan syarikat dari seluruh dunia.

“Potensi REE ini dilihat mampu menjadi sumber ekonomi baharu kepada negeri sekiranya hasil eksplorasi mendapati kawasan tersebut mempunyai deposit yang berdaya maju untuk dibangunkan secara komersial,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN