Muhyiddin berjaya rujuk persoalan undang-undang berkait Akta Hasutan

Muhyiddin berjaya rujuk persoalan undang-undang berkait Akta Hasutan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung kesahihan peruntukan tertentu di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut Hakim Muhammad Jamil Hussin, Ahli Parlimen Pagoh itu berjaya memenuhi keperluan undang-undang untuk merujuk persoalan-persoalan itu. 

“Pada pandangan saya, pemohon telah memenuhi ujian (ambang dan) persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk mempunyai kaitan langsung dengan kes di hadapan saya. Keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi kesan kepada penyelesaian perkara yang dipertikaikan.

“Persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk adalah sukar dan tidak dapat (diselesaikan) dengan peruntukan Perlembagaan (sedia ada). Saya juga memerintahkan penggantungan prosiding perbicaraan jenayah sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan di atas persoalan tersebut,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Mahkamah menetapkan 27 November ini untuk pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani.

Sebelum ini, Muhyiddin memohon untuk mencabar kesahihan peruntukan tertentu dalam Akta Hasutan 1948 kerana mendakwa ada ‘kesukaran luar biasa’ yang timbul dalam akta itu.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan di antara pukul 10.30 malam dan 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada 27 November 2024, Mahkamah Tinggi, Kota Bharu membenarkan permohonan Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yassin untuk memindahkan kes berkenaan dari Kelantan ke ibu negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×