KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap proses ‘turun naik’ mahkamah yang dilaluinya sebagai satu ketentuan takdir.
Beliau juga berharap agar tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk suapan berkaitan Program Jana Wibawa akan turut memihak kepadanya.
“Ya lah, itu nasib sayalah. Doakanlah, mudah-mudahan berbaki pertuduhan yang belum selesai, yang hari ini sudah pun selesai dibicarakan. Saya mohon mudah-mudahan saya juga dibebaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pihak pendakwaan menutup kes perbicaraan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pada Mac 2023, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun pada prosiding hari ini, Muhyiddin, 79, dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan membabitkan satu kes salah guna kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut meluahkan rasa syukur atas keputusan berkenaan dan menganggapnya sebagai satu kelegaan selepas sekian lama berdepan proses perundangan.
“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah di atas keputusan yang telah pun dibuat oleh hakim di mahkamah. Saya ucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya yang telah membela saya.
“Alhamdulillah, keputusan itu adalah keputusan yang amat saya alu-alukan, rasa lega kerana sejak awal lagi saya berpendapat saya tidak bersalah.
“Jadi, terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan untuk pembebasan saya pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, tindakan membiarkan pertuduhan itu terus tergantung tanpa sebarang bukti oleh pihak pendakwaan adalah satu bentuk ketidakadilan yang amat nyata terhadap Muhyiddin.
“Kami telah menunggu sebarang bukti untuk dikemukakan supaya kami dapat meneliti dan mencabar bukti-bukti tersebut.
“Nasib berpihak kepada kami, kerana tiada bukti seumpama itu yang pernah dikemukakan terhadap anak guam.
“Oleh itu, dengan ketiadaan bukti sedemikian, saya rasa hakim telah membuat keputusan yang betul untuk membebaskan beliau,” katanya. – UTUSAN










