SPRM tarik balik laporan polis terhadap peguam Muhyiddin

SPRM tarik balik laporan polis terhadap peguam Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa laporan polis yang dibuat terhadap salah seorang peguam bela bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu kebocoran dokumen telah ditarik balik.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mazery Mohd Zaini selepas membuat semakan di ibu pejabat SPRM.

“Hasil semakan yang saya laksanakan di ibu pejabat mendapati tiada sebarang kebocoran maklumat daripada pegawai SPRM sendiri.

“Dan saya berpuas hati tiada sebarang keterangan atau apa-apa dokumen yang keluar (bocor) daripada pegawai SPRM,” katanya.

Tambah Mazery, beliau turut menuntut supaya keterangan pembantunya diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dikeluarkan berhubung laporan yang dibuat berkenaan.

Semalam, SPRM telah membuat laporan polis atas dakwaan berlaku kebocoran dokumen sulit mengandungi salinan rakaman perbualan membabitkan bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Isu berkenaan timbul semasa sesi pemeriksaan semula saksi pendakwaan ke-29 itu yang juga pegawai penyiasat kes melibatkan Muhyiddin berkait pertuduhan rasuah dan salah guna kedudukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×