IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari, menegur bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang menyifatkan ahli politik sebagai ancaman terbesar kepada Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Abdul Aziz, hakikatnya pelantikan Tengku Maimun sendiri dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekali gus membuktikan campur tangan politik dalam sistem kehakiman tidak boleh diketepikan.
“Perlu difahami, pandangan ahli politik hanya kekal sebagai pendapat, walaupun mereka terpelajar dalam undang-undang.
Sebaliknya, pandangan hakim mempunyai kesan besar kerana boleh menjadi sebahagian daripada undang-undang. Malah, walaupun pandangan hakim itu salah, ia tetap diberi perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu yang juga pakar Perlembagaan menegaskan, perasaan tidak selesa ahli politik terhadap hakim adalah perkara biasa.
Katanya, keadaan sama berlaku di United Kingdom apabila Tony Blair, seorang peguam kanan bertaraf Queen’s Counsel (QC), dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Lebih baik bekas Ketua Hakim Negara berdiam diri kerana jawatan itu sangat tinggi dan membawa bersama tanggungjawab besar. Malah, seseorang yang pernah menyandang jawatan tersebut secara tidak langsung telah menyerahkan hak untuk bersuara, seperti juga ahli Jemaah Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Maimun dalam satu program di Kuala Lumpur menegaskan ahli politik merupakan ancaman utama kepada keluhuran Perlembagaan.
Beliau turut menegaskan, Perdana Menteri tidak wajar terlibat dalam proses pelantikan kehakiman kerana boleh menjejaskan kebebasan institusi tersebut.
Tengku Maimun turut mengulangi pendiriannya bahawa undang-undang sedia ada yang membenarkan Perdana Menteri melantik lima anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu dipinda bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat terhadap kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk Abdul Aziz yang berpendapat, bekas Ketua Hakim Negara perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan selepas bersara kerana ia boleh menimbulkan salah faham masyarakat terhadap peranan ahli politik dan sistem kehakiman. – UTUSAN









