KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 144 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Wan Ahmad Farid yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada 28 Julai 2025 merupakan penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 itu disempurnakan oleh Sultan Ibrahim. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam istiadat sama, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang dikurniakan Darjah Bakti (DB), iaitu pengiktirafan tertinggi negara atas kecemerlangan dan sumbangannya dalam sukan berbasikal serta kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri pula dikurniakan kepada Panglima Angkatan Tentera, Datuk Seri Malek Razak Sulaiman; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail; serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahaman.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, antara lima penerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri.
Turut dikurniakan PSM ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Datuk Avinderjit Singh Harjit Singh.
Seramai 10 individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Hakim Mahkamah Rayuan, Leonard David Shim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hairil Yahri Yaacob; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman serta Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Russia, Datuk Cheong Loon Lai.
Turut menerima PJN ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari; tokoh aktivis masyarakat dan wanita, Datuk Rugayah Abdul Majid; Pengerusi MRANTI Corporation Sdn. Bhd., Prof. Dr. Rofina Yasmin Othman; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Amar Huzaimi Md. Deris; serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., Datuk Teo Chee Yow.
Sementara itu, tiga individu menerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof; Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Jaba Mohd. Noah; dan Juruiring Tentera Udara Yang di-Pertuan Agong, Brigedier Jeneral Datuk Amrul Yacob. – UTUSAN










