PETALING JAYA: Pemergian Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang meninggal dunia hari ini merupakan kehilangan besar kepada badan kehakiman dan negara.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Allahyarham sangat berjasa kepada badan perundangan negara sepanjang menjawat jawatan berkenaan.
“Allahyarham merupakan Ketua Hakim Negara bermula dari 1 November 2007 sehingga 17 Oktober 2008, telah banyak berjasa kepada badan kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Sesungguhnya kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” katanya dalam kenyataan.
Pemergian Allahyarham disahkan keluarga dalam satu kenyataan rasmi namun butiran lanjut mengenai punca kematian belum didedahkan.
Utusan Malaysia difahamkan solat jenazah akan diadakan di Musolla Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya, selepas waktu solat Asar manakala pengebumian akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20.
Allahyarham dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi dan menengah di St. Xavier’s Institution sebelum memperoleh ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada tahun 1969.
Abdul Hamid memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak, serta menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000, dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003, sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah, dan empat anak. – UTUSAN










