PEMUJA Syaitan boleh jadi sebuah filem yang sangat penting kerana menceritakan bagaimana sebuah sistem patriarki menumbuhkan benci, autoriti sehingga seorang lelaki bertindak menyakiti perempuan sesuka hati. Dalam kes Pemuja Syaitan, semua dendam berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa membuatkan seorang lelaki tua menggunakan ilmu-ilmu ghaib untuk menundukkan perempuan.
Secara konteks, Pemuja Syaitan lahir di tengah-tengah ketegangan semasa femisid dibincangkan sangat meluas di Malaysia selepas insiden remaja perempuan maut kerana menolak cinta rakan sebaya. Isteri ditikam 13 kali oleh suami sendiri hingga perempuan 19 tahun mati di tangan kekasih.
Filem sulung arahan Liyana Jasmay, mengetengahkan standard ganda yang nyata apabila Inspektor Zul menidakkan luahan isteri yang pasti sahaja akarnya datang dari ‘rasa tidak penting’. Walau, Zul membawa cebis-cebis sesalan sepanjang hayatnya selepas isterinya maut akibat tekanan.
Apabila filem ini meminjam latar hujung 90-an, ia secara tidak langsung mahu membuktikan kesan anomali yang teruk dalam masyarakat dan ia masih tidak susut juga walaupun Pemuja Syaitan terbit pada 2026, ketika femisid kembali menjadi sebutan. Ia kritik sosial yang halus, berlapis dan wajar diberi perhatian.

Bagaimanapun, Pemuja Syaitan belum cukup cermat untuk berdiri sebagai sebuah filem yang baik. Premisnya, bagaimana persahabatan enam (atau lima) kawan sejak sekolah teruji selepas mereka terperangkap di sebuah pulau. Satu demi satu maut hanya satu malam selepas mereka terjumpa sebuah tangkal.
Geng tersebut dijayakan Aila Azizul (Khatijah), Elizabeth Tan (Julie), Nadhir Nasar (Nazim), Ellyza Azizi (Ana), Aida Amron (P) dan Dhabita Auji (Marissa).
Dalam pertemuan itu, Nazim membawa skandalnya, Amira dilakonkan (Aaliyah Natasha), juga P membawa saudaranya, Halim (Hakim Khan). Selepas saya menyenaraikan semua pelakon ini, Pemuja Syaitan sepatutnya faham bahawa naskhah ini perlu memberikan perjalanan karakter yang solid untuk kesemua karakternya.
Bagaimanapun, perkara itu gagal dibina oleh Pemuja Syaitan, kerana ceritanya seperti bersepah-sepah, sebab-akibat karakternya tidak sampai dan membazir.

Ada karakter yang lekat di kepala seperti Khatijah, namun tidak semua karakter nampak setara memberi kesan signifikan dalam menyokong naskhah seperti Halim dan Amira. Ana, P, Marissa,
Nazim pula hanya karakter tampal-tampal sekadar memeriahkan suasana. Bahkan, ada karakter yang saya tidak ingat pun bagaimana mereka berfungsi di dalam naskhah seperti mengapa karakter tertentu mati dahulu, betapa sangat tidak penting.

Sayang sekali, kerana kebanyakan pelakon dalam nashkah ini sudah saya tonton persembahan cemerlang mereka di naskhah yang lain namun aneh, filem ini menguburkan keberadaan mereka.
Mungkin juga akibat faktor visual terlalu gelap gagal menunjukkan reaksi dan ‘rasa’ sebenar karakter dan artikulasi dialog dilontarkan tidak jelas, apalagi filem ditayangkan tanpa sarikata.
Pengalaman Pemuja Syaitan terasa sangat jauh, mungkin disebabkan faktor cubaan ‘meragut’ idea naskhah luar yang gagal diolah baik dalam nuansa tempatan. Selain pakaian mereka ke pantai ala ke pusat beli-belah, ada babak yang dipilih tidak perlu sampai ke tahap itu pun hanya untuk menggambarkan pengajaran.
Bagaimanapun, apa yang jauh lebih serius adalah bagaimana perjalanan ceritanya belum cukup masak terutama di bahagian perleraiannya. Jika satu jam pertama tayangan belum cukup mencuri perhatian, kita berharap agar perleraiannya akan berjaya memulihkan kekecewaan.
Bagaimanapun, subpot jauh lebih berselirat, tidak faham mengapa Julie berselerakan seorang bapa. Tidak faham kenapa Ana ‘lesap’ sedangkan semua karakter berbual dengannya di awal filem, hingga karakter Zul terheret dalam penyembahan.
Namun, ini adalah filem pertama Liyana Jasmay yang mana wajar untuk kita berikan ruang untuknya berproses. Setidaknya Pemuja Syaitan memberikan kita ‘rasa sepanjang menontonnya walaupun ia rasa penuh kekeliruan dan kejanggalan.









