IPOH: Kajian berhubung pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur tiada kaitan dengan antiagenda Melayu dan Islam.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, sehubungan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh wajar diberikan peluang berhubung kajian berhubung tersebut.
Menurutnya, Hannah juga tidak membuat sebarang keputusan berhubung pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Elok beri peluang kepada Hannah Yeoh, lagipun bukan dia putuskan apa-apa. Dia hendak buat kajian di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) pula.
“Ini bagus kerana buat keputusan berdasarkan fakta bukan andaian semata-mata.
“Dia telah buktikan dia baik apabila mengumumkan sewa bazar Ramadan paling rendah. Apa bukti dia anti agenda Melayu dan Islam?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz berkata, hakikatnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBLKL) terlalu besar dan kurang akauntabiliti, isu yang sudah telah lama disuarakan.
Menurutnya, hakikatnya juga (penghuni) Kuala Lumpur kini majoritinya orang Melayu terutama yang berpendapatan rendah.
“Kita yakin Hannah Yeoh dengan pengalamannya mampu membuat sesuatu yang ceria untuk mereka.
“Suara skeptics daripada golongan kanan dan rasis elok diabaikan. Mandat Perdana Menteri dalam menempatkan dia di portfolio itu harus dilaksanakan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, sebagai menteri, Hannah bertanggungjawab kepada Perdana Menteri dan Parlimen, bukan suara-suara sumbang yang rasis.
“Dia telah buktikan dia baik, sewa bazar Ramadan paling rendah. Itu bukti prestasi yang baik dalam masa yang paling singkat,” katanya.
Sebelum ini, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sedang mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar, dengan menyatakan ia lebih praktikal berbanding memilih ahli majlis DBKL melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Perkara itu ditolak parti politik Melayu atas dasar ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoriti penduduknya adalah bukan Melayu. – UTUSAN










