TAWAU: Seorang wanita yang kritikal selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) ketika sedang berlari di Batu 9 Jalan Apas pada 9 Ogos lalu, disahkan meninggal dunia semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa dikenali sebagai Darna Tajudin, 43, meninggal dunia di Hospital Tawau pada pukul 8.37 pagi.
“Buat masa ini, polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan berlari bersama beberapa rakannya dari arah Bandar Sri Indah Batu 10 Jalan Apas menuju kawasan T2 Batu 2 Jalan Apas.
Kejadian bermula apabila pemandu pacuan empat roda berusia 57 tahun dipercayai mabuk dan melanggar sebuah kenderaan MPV dipandu lelaki berumur 39 tahun dalam perjalanan dari Taman Ria 11 ke Lapangan Terbang Tawau.
Akibat pelanggaran itu, pemandu pacuan empat roda terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa yang sedang berlari bersama kumpulannya.
Menurut Champin, siasatan awal sebelum ini dikendalikan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mendatangkan kecederaan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, perkembangan terbaharu selepas kematian mangsa membawa kepada perubahan klasifikasi kes di bawah Seksyen 44 (1)(b) APJ 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda minimum RM50,000 hingga maksimum RM100,000,” katanya. – UTUSAN










