SEREMBAN: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) perlu lebih rasional dan tidak bertindak melulu kerana dalam apa juga pergeseran, setiap tindakan pasti akan mengundang reaksi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan secara adil dan tidak tertumpu kepada satu pihak sahaja termasuk ke atas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Mohamad merujuk kepada tindakan Muhamad Akmal yang mengetuai demonstrasi di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang susulan pemilik premis itu memasang Jalur Gemilang secara terbalik, kelmarin.
Insiden itu turut mendapat reaksi DAPSY Pulau Pinang yang mendesak kepimpinan parti memutuskan hubungan politik dengan Muhamad Akmal.
Mohamad berkata, Muhamad Akmal telah dipanggil polis untuk memberi keterangan dan kehadirannya ke demonstrasi itu dengan misi damai, bukan untuk mencetuskan huru-hara.
“Pihak beliau (Muhamad Akmal) diprovokasi tetapi nasib baik tiada insiden tidak diingini berlaku. Saya juga berharap DAP dapat nasihatkan pemuda mereka (DAPSY) agar lebih rasional dan tidak bertindak melulu yang akhirnya boleh menggugat kestabilan negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini, hari ini.
Mohamad berkata, negara mempunyai undang-undang yang mesti dihormati semua pihak tanpa pengecualian.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang, contohnya dalam isu pemasangan bendera dan penggunaan lambang atau panji negara.
Beliau berkata, pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik adalah perkara sangat sensitif yang tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan kerana boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Ada orang sangat sensitif dengan lambang negara. Kalau panji-panji negara diperlakukan sedemikian rupa, pasti ada yang marah,” katanya. – UTUSAN











