PETALING JAYA: Hasrat untuk menyaksikan atlet pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi beraksi dalam Terbuka Malaysia hujung bulan ini berkemungkinan tidak kesampaian.
Azeem mungkin tidak dapat beraksi di kejohanan yang bakal diadakan di Perlis pada 29 hingga 31 Ogos ini selepas difahamkan pelajar Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) itu akan memulakan kuliahnya pada 18 Ogos ini.
Pelari dari Teluk Intan itu baru sahaja pulang daripada menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka India malah turut membawa pulang pingat emas bagi acara 100 meter (m).
Azeem yang merupakan penerima biasiswa Universiti Auburn pastinya perlu mengutamakan kuliah pengajiannya daripada menyertai Terbuka Malaysia yang diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra.
Ketika Utusan Malaysia mendapatkan pengesahan daripada Olahraga Malaysia (MA), tiada sebarang pengesahan dapat diberikan oleh badan induk itu mengenai penyertaan Azeem di Perlis nanti.
“Itu kena tanya dia (Azeem),” kata Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim.
Selain Terbuka Malaysia, penyertaan Azeem dalam Sukan SEA 2025 juga masih belum dapat dipastikan lagi mengenai statusnya selepas temasya dwitahunan itu diadakan pada Disember ini dan waktu tersebut merupakan tempoh rehat terbaik buat dirinya. – UTUSAN










