PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi terus berada di landasan terbaik apabila menghampiri catatan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 100 meter (m).
Pelari berusia 22 tahun itu mencatat 10.13 saat (s) pada Kejohanan Wilayah Timur NCAA di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) sekali gus membolehkannya mara ke pusingan seterusnya.
Catatan tersebut bukan sahaja menjadi rekod terbaik Azeem musim ini, malah meletakkannya sebagai 12 pelari terpantas keseluruhan pada peringkat saringan kejohanan berkenaan.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan perlumbaan di tempat kedua saringan di belakang rakan sepasukannya, Israel Okon yang mencatat masa 10.02s.
Catatan itu juga menyaksikan Azeem hanya 0.04s di belakang rekod kebangsaan 10.09s yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.
“Tinggal satu langkah lagi untuk diharungi,” katanya dalam media sosial X. – UTUSAN










