MA tidak boleh paksa Azeem ke Sukan SEA

MA tidak boleh paksa Azeem ke Sukan SEA

Muhammed Azeem Fahmi berhak menentukan sama ada mahu menyertai Sukan SEA Thailand atau sebaliknya. - FB AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Olahraga Malaysia (MA) tidak boleh memaksa jaguh pecut negara, Muhammed Azeem Fahmi ‘berlari’ di Sukan SEA 2025 Thailand pada hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, segala keputusan kini bergantung kepada Azeem sendiri sama ada mahu menyertai temasya dwitahunan itu atau menarik diri.

Katanya, pemegang rekod kebangsaan 10.09 saat (s) itu terikat dengan perjanjian dengan Universiti Auburn selain jadual Sukan SEA bertindih dengan peperiksaannya.

“Jadi kita telah serahkan kepada Azeem untuk buat keputusan terbaik kerana nama dia (Azeem) juga telah dicalonkan oleh MA untuk ke Sukan Olimpik,” katanya di sini semalam.

Ketika ini, MA tetap menyenaraikan nama juara Terbuka India itu dalam tiga acara iaitu 100 meter (m), 200m dan 4x100m ke Sukan SEA untuk sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Karim berkata, pencapaian atlet negara dalam acara 100m lelaki dan wanita di Terbuka Malaysia sangat memuaskan dengan kedua-dua merangkul pingat emas.

Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya memintas pelari Korea Selatan di saat akhir untuk menjuarai acara 100m dengan cacatan masa 10.26s, manakala Zaidatul Husniah Zulkifli cemerlang mengatasi atlet Sri Lanka.

“Setakat ini, pencapaian atlet memuaskan, bagaimanapun kita akan melihat prestasi beberapa lagi atlet lain khususnya dalam acara lompatan dan lontaran,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil berkata, setiap atlet yang bersaing di Terbuka Malaysia perlu mempamerkan prestasi terbaik untuk Sukan SEA.

“Kita tidak meletakkan sasaran untuk atlet mencipta rekod, namun yang penting mereka perlu lakukan yang terbaik bagi meraih tempat ke Sukan SEA Thailand.

“Itu yang paling penting, memandangkan ia menjadi medan untuk pemilihan terakhir bagi menentukan siapa yang layak ke sukan dwi tahunan itu.

“Kedudukan mana-mana atlet ini untuk Sukan SEA itu masih belum ditentukan dan sesiapa sahaja kena buktikan sesuatu untuk tunjukkan mereka layak mewakili negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN