PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menyumbang pingat di Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 terus menyala susulan kejayaannya merangkul emas di Kejohanan Olahraga Bawah 23 (B-23) Asia 2026 di Ordos, China, kelmarin.
Azeem mempamerkan larian konsisten dengan menamatkan larian 10.17 saat (s) untuk memenangi acara 100 meter (m) walaupun pencapaian tersebut jauh daripada catatan peribadi terbaiknya musim ini iaitu 10.09s.
Dia melakukan catatan tersebut ketika beraksi dalam suku akhir dalam Kejohanan NCAA dekat Oregon, Mei lalu sekali gus menyamai rekod kebangsaan miliknya.
Mengulas lanjut, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Azeem perlu menggandakan usahanya bagi menghadapi Sukan Asia 2026 di mana saingannya lebih sengit dan mencabar.
“Catatan masa 10.17s itu kalau konsisten di Sukan Asia nanti Azeem sekurang-kurangnya boleh menaiki podium. Namun, perlu diingatkan di temasya itu ramai pelari-pelari hebat.
“Azeem tak boleh selesa dengan kedudukannya sekarang sebaliknya dia perlu gandakan usahanya menuju ke Sukan Asia tapi walau apa pun Azeem kini berada di landasan yang tepat ke arah itu,” katanya.
Sandaran utama dalam acara riben biru itu pastinya disandarkan kepada Azeem yang merupakan pemenang pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022.
Dalam pada itu, Pekan turut berharap Azeem dapat melakukan sesuatu di pentas tertinggi sama ada di Asia mahupun Asia Tenggara memadangkan dia kini sandaran utama negara.
“Dia kena konsisten menang di peringkat Asia mahupun ASEAN. Dia perlu konsisten untuk berlari di bawah catatan 10.20s sebab dengan cara itu dia mampu menghadiahkan pingat buat negara,” katanya. – UTUSAN










