PETALING JAYA: Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi gagal melayakkan diri ke final dalam acara 60 meter (m) dalam dewan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.
Azeem menjadi pelari ke-13 keseluruhan pada saringan awal selepas melakukan catatan masa 6.70 saat (s) sekali gus layak ke peringkat separuh akhir kejohanan.
Bagaimanapun, atlet dari Teluk Intan itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan kesembilan keseluruhan dengan catatan masa 6.65s, gagal ke final kejohanan.
Begitu pun, itu bukan catatan masa terbaik Azeem pada musim ini bagi acara 60m dalam dewan selepas dia melakukan catatan masa 6.60s masing-masing pada Kejohanan Jemputan UAB Blazer di Birmingham, Alabama serta Terbuka Samford, bulan lalu.
Azeem sebelum ini mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan 200m apabila mencatat 21.50s sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan di Kejohanan Bob Pollock Invitational di Clemson, minggu lalu.
Bagi kategori dalam dewan, itu merupakan rekod kedua Azeem selepas dia melakukan catatan masa 6.56s dalam acara 60m pada Kejuaraan SEC, Mac lalu.
Azeem mewakili Universiti Auburn dijadual beraksi di Kejuaraan SEC dekat Texas pada hujung bulan ini dalam usaha melayakkan diri ke final NCAA di Fayetteville pada 13 dan 14 Mac ini. – UTUSAN










