Azeem kembali genggam 10.09s

Azeem kembali genggam 10.09s

Muhammad Azeem Fahmi mencatat 10.09 saat dalam kelayakan Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Kentucky, Amerika Syarikat (AS), semalam sekali gus menjadi atlet pertama dari Malaysia yang layak ke grand final 100 meter di Oregon pada Jun ini. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi akhirnya kembali ‘berdamai’ dengan catatan keramat 10.09 saat (s) apabila menyamai rekod kebangsaan miliknya sendiri pada aksi Kelayakan Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Kentucky, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu tampil cukup meyakinkan dalam aksi suku akhir acara 100 meter (m) apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga saringan selepas bermula agresif sejak blok permulaan.

Lebih bermakna, catatan tersebut bukan sahaja menjadi rekod terbaik musim ini buat Azeem, malah mengesahkan dirinya atlet Malaysia pertama layak ke grand final NCAA bagi acara individu 100m di Oregon Jun ini.

Kebangkitan semula Azeem itu juga seolah-olah menutup penantian panjang selama hampir empat tahun sejak kali terakhir dia mencipta sensasi dengan rekod kebangsaan tersebut di Cali, Colombia pada 2022.

“1,396 hari kemudian, Alhamdulillah,” tulisnya menerusi hantaran ringkas di laman sosial X miliknya.

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu sebelum ini beberapa kali hampir memadam rekod sendiri termasuk mencatat 10.08s awal bulan ini namun bantuan angin melebihi had menyebabkan masa tersebut tidak diiktiraf secara rasmi.

Malah, Azeem turut pernah mencuri perhatian apabila melakukan catatan luar biasa 10.01s di Kejohanan Trek dan Padang Universiti Appalachian di Carolina Utara Mei tahun lalu, namun rekod tersebut tidak diterima kerana bantuan angin terlalu kuat iaitu +4.7.

Momentum semasa dipamerkan Azeem kini hadir tepat pada waktunya ketika skuad olahraga negara sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun September ini.

Turut mencuri perhatian di Kentucky ialah rakan sepasukan Azeem dari Universiti Auburn, Kanyinsola Ajayi yang mencatat masa luar biasa 9.84s untuk muncul pemenang saringan kedua selain empat pelari Auburn lain turut melangkah ke Grand Final NCAA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN