BULAN Ogos hingga September yang diisytiharkan sebagai Bulan Kebangsaan lazimnya sarat dengan pengisian bernuansa patriotisme. Dalam konteks ini, semangat patriotisme merujuk rasa keterikatan emosional dan kecintaan yang mendalam terhadap tanah air tercinta.
Dalam hal ini, rasa ini boleh diteliti dari beberapa segi. Antaranya termasuklah kapitalisme, iaitu sistem ekonomi yang dikawal sektor swasta, persekitaran, yakni pengurusan alam semula jadi melibatkan kegiatan manusia dan simbolisme, iaitu penggunaan lambang untuk mewakili sesuatu gagasan dan amanah.
Untuk patriotisme simbolisme, ia melibatkan semua simbol negara, iaitu imej dan pernyataan digunakan sesebuah negara untuk mewakili negara itu sendiri, rakyat selain nilai yang disanjunginya. Ia boleh berupa objek dalam pelbagai bentuk seperti bunga, haiwan dan pakaian, lencana seperti jata dan rekaan serta muzik seperti lagu kebangsaan.
Lagu kebangsaan sebagai simbol nasional, adalah muzik rasmi yang diangkat sesebuah negara, untuk dinyanyi atau dimainkan secara penuh hormat, antaranya sebagai pernyataan identiti nasional bagi negara itu. Ia yang berupa lagu penuh dengan rasa cintakan negara, biasanya dinyanyi atau dimainkan pada majlis tertentu yang signifikan sifatnya. Antaranya acara sukan, istiadat rasmi, upacara formal dan program kenegaraan.
Dengan sifatnya yang sedemikian, lagu kebangsaan berperanan membangkitkan rasa kebanggaan kepada negara untuk seterusnya memupuk rasa kekitaan yang erat lagi utuh. Ini antaranya dilakukan melalui rasa keterikatan yang dimiliki bersama-sama seluruh rakyat kepada negara tercinta.
Untuk lagu kebangsan kita, iaitu Negaraku, seni katanya dinukil oleh Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri pertama. Alunannya pula berdasarkan lagu negeri Perak Darul Ridzuan, iaitu Allah Lanjutkan Usia Sultan.
Seni katanya sangat menarik. Ini kerana ia menginsprirasikan kesejahteraan selain optimisme dan harapan.
Begitu juga dengan alunannya yang walaupun lemah lembut, tetap bertenaga dengan daya luar biasa, selain iktikad yang sangat menyakinkan.
Seperti mana-mana lagu kebangsaan, Negaraku juga dinyanyi atau dimainkan untuk membangkitkan rasa cinta kepada negara yang tidak berbelah bahagi. Kebangkitan rasa ini antaranya disebabkan seni kata dan alunan padanya.
Lagu Negaraku, seni katanya didapati memang mencuit sanubari. Ia yang menyentuh soal pertiwi, rakyat dan raja yang kesemuanya adalah daripada berkat dan limpahan Tuhan, sungguh mengesankan. Antaranya menjadikan kita insaf untuk mencintai negara ini.
Begitu juga dengan alunannya yang walaupun sedikit suram, tetap tegas untuk menyampaikan sikap serius tentang aspirasi nasional yang bukan sahaja sangat dihajati, juga wajib dicapai. Ini tidak dapat dinafikan memang ikut menusuk kalbu.
Dengan ini, sudah terang lagi bersuluh lagu Negaraku memiliki beberapa peranan penting. Yang pertama ialah ia boleh memupuk identiti nasional untuk negara tercinta. Ini kerana ia adalah antara lambang yang sangat berwibawa untuk bukan sahaja mentakrif, juga memperkukuh identiti nasional.
Lagu Negaraku juga didapati mempromosi patriotisme. Dalam hal ini, ia digubah untuk merangsang rasa cinta untuk menyayangi negara ini.
Bukan itu sahaja, ia juga mampu menggalakkan rakyat untuk terus berbakti kepada negara, selain selalu berpegang teguh kepada sistem pemerintahan yang menjunjung raja.
Seterusnya lagu ini didapati boleh menyatukan rakyat. Ini terjadi kerana pemainan atau nyanyian lagu itu yang memang merupakan pengikat kuat, untuk rakyat bukan sahaja sama-sama megah, juga sama-sama sayang kepada negara.
Sebetulnya lagu Negaraku mampu mengeratkan jurang sosial, budaya dan politik yang wujud dalam kalangan rakyat. Lagu ini bukan sahaja memupuk, juga memperkasa perpaduan nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang etnisiti dan agama, serta dari wilayah berbeza, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Selanjutnya lagu Negaraku selalu dinyanyi atau dimainkan pada majlis rasmi. Antaranya acara sukan untuk meraikan kemenangan dan perhimpunan awam bagi memperingati peristiwa tertentu.
Ia turut berperanan untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam negara.
Lagu Negaraku juga didapati mengungkapkan nilai, aspirasi dan amanah nasional kita. Ini jelas kelihatan pada muziknya, khususnya seni katanya yang jelas mengungkap nilai, aspirasi dan amanah itu, antaranya pada kalimat “Rakyat hidup bersatu dan maju”.
Tidak dapat dinafikan lagi lagu Negaraku, seperti mana-mana lagu kebangsaan lain, adalah antara cara paling berwibawa, malah berupaya sekali untuk digunakan bagi menyatakan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Sehubungan ini, identiti nasional ialah kewujudan sesebuah negara berdaulat, yang disulih oleh sejarah, tradisi dan bahasa yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyatnya.
Untuk identiti budaya, ia adalah cara untuk menyatakan warisan budaya yang didukung seluruh rakyat, hanya diamalkan oleh mereka sahaja.
Dalam hal ini, identiti nasional adalah jati diri, yakni sifat dan ciri unik lagi istimewa di seluruh Malaysia sebagai negara Melayu-Islam secara terasnya, walaupun kependudukannya bersifat majmuk.
Identiti budaya pula adalah jati diri, iaitu keteguhan hati dan kekentalan jiwa rakyat Malaysia yang pelbagai, sebagai keperibadian unik lagi istimewa di bumi Melayu-Islam.
TIADA TERJEMAHAN
Dalam hal ini, seni kata lagu Negaraku dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak boleh sesekali diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Walaupun dinyanyikan dengan penuh semangat cintakan negara.
Ini kerana identiti nasional dan identiti budaya di negara ini wajib diungkapkan dalam bahasa watannya sahaja.
Dengan ini, setiap negara yang berdaulat akan memastikan identiti nasional negaranya dan juga identiti budaya rakyatnya hanya diungkapkan dalam bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan.
Malaysia sama sekali tidak terkecuali dalam hal sepenting dan senasional ini.
Ini bagi mewujudkan rasa keterikatan kuat yang sama sekali tidak berbelah bahagi kepada negara dan setiap rakyat. Ini tidak lain tidak bukan untuk tujuan solidariti rakyat di negara ini dalam konteks tanah air, ibu pertiwi dan tanah tumpah darah yang sama.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










