PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu menyebabkan rakyat kini sudah letih sehinggakan ada yang tidak lagi peduli dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Hal ini ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang silih berganti sehingga mereka berasa bosan kerana tidak dapat lagi melaksanakan rutin harian seperti suatu masa dahulu.
Perkara itu didedahkan beberapa pakar psikologi tempatan yang mengkaji corak pemikiran dan emosi rakyat sepanjang pandemik Covid-19 menular ke negara ini.
Mereka mendapati, faktor perbezaan personaliti, tahap pendidikan dan keadaan persekitaran turut mempengaruhi tahap kedegilan rakyat dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Dr. Firdaus Abdul Gani berkata, perkara tersebut lebih menjurus kepada tekanan serta keletihan mental yang menyebabkan rakyat tidak lagi ambil peduli terhadap peningkatan jangkitan wabak.
Bagaimanapun, katanya, ketika berlakunya peningkatan tertinggi sehingga melepasi angka 6,000 kes jangkitan baharu, sudah mula terdapat unsur panik dirasakan dalam kalangan rakyat.
Keadaan itu diharapkan mencetuskan kesedaran untuk segera bertindak dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Sememangnya rakyat sudah letih, tetapi perlu diingat bahawa ketidakpatuhan SOP menjadi antara punca utama kes semakin meningkat. Jika dilihat, kerajaan menyediakan vaksinasi secara percuma kepada rakyat dan memberikan bantuan di samping cuba memahami kemahuan rakyat dengan memberikan sedikit kelonggaran.
“Ini bagi membantu mengurangkan tekanan yang dialami oleh rakyat. Rakyat perlu memahami kekangan yang dihadapi kerajaan dan menghargai usaha yang dijalankan. Bagi pihak rakyat pula harus dapatkan vaksinasi yang disediakan, kekal untuk mematuhi SOP dengan ketat serta teruskan sokongan anda kepada petugas barisan hadapan yang berusaha keras dalam menangani pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman berkata, kedegilan sesetengah rakyat adalah berakar umbi daripada latar belakang personaliti individu itu sendiri yang manja dan tidak pernah melalui hidup sukar.
“Golongan yang akur, Alhamdulillah. Namun, yang tidak akur ini berpunca daripada personaliti yang berbeza antara individu. Mereka tergolong dalam golongan yang perlu belajar sendiri melalui cara sukar. Ada orang kena belajar cara sukar, dan ada yang belajar melalui pemerhatian. Jadi, yang jenis tidak akur ini, dia tengok orang dan mungkin tidak jadi pada dia, tetapi apabila sudah kena baru lah sedar,” ujarnya.
Katanya, walaupun belum terdapat kajian yang terperinci, kemungkinan besar perkara itu mungkin berkaitan dengan tahap pendidikan.
“Kalau kita ini celik akal dan tahu mana satu bahaya, kita tidak akan buat (langgar SOP), tetapi, kalau mereka yang tidak berapa hendak faham, maka itu yang banyak perlanggaran berlaku.
“Kita juga tidak tahu dengan persekitarannya yang sempit, menyebabkan dia hendak keluar rumah. Sebagai contoh, ada sekumpulan remaja yang berlatarbelakangkan ekonomi dan sosial yang rendah dan tinggal di dalam rumah yang dikongsi dan padat. Apabila dia tidak tahu hendak pergi mana, jadi dia keluar melepak. Kalau ada persekitaran rumah yang kondusif, dia mesti duduk rumah dan tidak melanggar SOP,” katanya.- UTUSAN ONLINE










