PETALING JAYA: Kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara (CJ) yang berlaku ketika ini tidak menandakan bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis Perlembagaan.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, masalah yang timbul hanya kerana terdapat kekosongan jawatan di institusi kehakiman dan ia dinoktahkan menerusi pelantikan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Untuk mengatakan badan kehakiman sudah rosak dan sebagainya, itu hanya spekulasi atau persepsi sahaja. Jadi bila jawatan-jawatan itu sudah diisi, biarlah hakim-hakim berkenaan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut sumpah jawatan yang diambil.
“Kita perlu beri ruang kepada Majlis Raja-Raja untuk meneliti calon-calon yang sesuai untuk dilantik dan mengisi kekosongan jawatan tersebut. Tidak perlulah kita hendak politikan isu ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengutus sepucuk surat kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut dalam badan kehakiman negara.
Bagaimanapun, gesaan oleh bekas Menteri Ekonomi itu ditolak oleh Perikatan Nasional (PN) kerana beliau masih berada di dalam blok kerajaan.
Terbaharu, Rafizi bertindak melancarkan satu petisyen dalam talian bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman yang mendapat penyertaan daripada ribuan rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, Yaacob berkata, semua pihak perlu berhenti membawa agenda politik dalam isu pelantikan CJ demi mencari populariti dan kepentingan peribadi.
Semantara itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, banyak cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak bagi menyelesaikan kemelut pelantikan hakim mahkamah atasan adalah tidak praktikal.
“Daripada kita minta penubuhan RCI, bukan lebih wajar untuk minta Perdana Menteri menasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisian dua jawatan hakim yang sudah kosong dan dua lagi bakal kosong dalam tempoh terdekat,” jelasnya.
Malah, katanya, cadangan mengadakan tribunal di bawah Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh juga bukan penyelesaian segera, tuntas dan tidak matang.
“Untuk berlaku adil, kedua-dua laporan polis yang dibuat ke atas Ahmad Terrirudin hendaklah dibenarkan terlebih dahulu untuk disiasat oleh pihak polis dan jika ada saranan atau cadangan tindakan lanjut daripada pihak polis dan dipertimbangkang Pejabat Peguam Negara, barulah isu tribunal untuk pembuangan seorang hakim boleh dipertimbangkan.
“Tetapi isu tribunal berkait Ahmad Terrirudin tidak menyelesaikan isu kekosongan kerana apa yang berlaku pada beliau, tidak akan mengisi jawatan-jawatan berkenaan.
“Oleh itu, saya mencadangkan semua pihak lain yang ingin memberi pandangan untuk merujuk pada pakar perundangan masing-masing terlebih dahulu supaya tidak menyulitkan isu dengan cadangan-cadangan di luar daripada penyelesaian tuntas,” katanya. – UTUSAN











