PUTRAJAYA: Tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave, kekal menjadi milik kerajaan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam prosiding sama turut memutuskan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. layak menerima pampasan dan keuntungan mesne atas pencerobohan sejak 1956 yang dinilai Mahkamah Tinggi berdasarkan nilai tanah pada 3 Disember 1956.
Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Swee Seng (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berkata, mahkamah hanya boleh membuat perisytiharan bahawa pihak tertentu berhak terhadap tanah itu tetapi tidak boleh memerintahkan kerajaan untuk memulangkan semula tanah tersebut.
Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956, melarang mahkamah daripada mengeluarkan perintah pemulangan semula tanah yang boleh dikeluarkan untuk memaksa kerajaan berbuat demikian.
“Undang-undang pentadbiran juga melindungi entiti awam daripada tuntutan yang boleh mengganggu fungsi dan tadbir urus kerajaan.
Bayangkan kesan buruk jika selepas hampir 70 tahun, mahkamah mengarahkan tanah dipulangkan kepada Semantan Estate.
“Pada 1956, tanah itu hanyalah ladang getah, kini jadi kawasan bandar yang dibangunkan dan mengandungi pelbagai bangunan kerajaan seperti Mahkamah Syariah, Jabatan Imigresen, Arkib Negara, stadium hoki dan kemudahan awam lain. Ada sistem jalan raya, lebuh raya, jejambat dan infrastruktur lain menyambungkan kawasan sekitar.
“Jika mahkamah memerintahkan tanah itu dipulangkan, bukan sahaja pemilikan bangunan dan infrastruktur akan berpindah ke tangan Semantan Estate tetapi mereka juga boleh melarang orang awam daripada memasuki kawasan itu termasuk menggunakan jalan raya di situ.
Malah, mereka boleh membina pagar dan mengenakan bayaran kepada sesiapa yang ingin lalu di situ,” kata Hakim Swee Seng.
Hakim Wan Ahmad Farid dalam penghakiman menyokong dan menyatakan penghakiman dibuat Mahkamah Tinggi pada 2009 yang memutuskan kerajaan telah menceroboh tanah yang dipertikaikan tidak pernah membuat perintah berhubung pemulangan semula tanah tersebut.
“Tiada sebarang bukti dikemukakan kepada mahkamah ini bahawa Semantan Estate telah membuat klarifikasi berhubung isu ini. Penghakiman diberikan ialah bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah yang dipertikaikan.
“Oleh kerana kedudukan Semantan Estate selaku pemegang kepentingan tanah tersebut telah turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini, maka Semantan Estate layak untuk keuntungan Mesne,” ujar Hakim Wan Ahmad Farid.
Pada prosiding semalam, pihak kerajaan diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Liew Horng Bin. – UTUSAN










