Transformasi Ekonomi Bumiputera tidak boleh sekadar hiasan

Transformasi Ekonomi Bumiputera tidak boleh sekadar hiasan Kabinet

AHMAD Zahid Hamidi ketika hadir pada Majlis Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di PICC, Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan impak yang dijanjikan daripada Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) masih belum dirasai oleh ma­syarakat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mempersoalkan sama ada agenda daripada pelan berkenaan telah benar-benar digarap.

“Alhamdulilah daripada kon­gres lalu, kita lahirkan satu pelan bersejarah PuTERA35 sebagai peta jalan baharu untuk memperkukuh kedudukan bumiputera dalam ekonomi negara.

“Namun sejujurnya saya ingin bertanya adakah kita benar- benar telah menggarap agenda itu? Adakah impak yang dijanjikan sudah dirasai oleh masyarakat? Jika tanya saya, belum lagi,” katanya pada Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 adalah satu kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Susulan itu, Ahmad Zahid mahu satu anjakan serius dilakukan agar hasrat besar KEB dapat diterjemahkan menerusi 132 ikhtiar di bawah PuTERA35.

“Saya mahu ia diberikan ke­utamaan penuh dan mesti ada keberhasilan. Kita perlukan garis masa yang jelas. Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam retorik tanpa kesudahan.

“Apabila saya melihat status pencapaian semasa saya dapati masih banyak yang belum dige­rakkan. Ini adalah dasar kerajaan jadi ia perlu menjadi kerangka utama bagi semua kementerian, bukan hanya Kementerian Ekonomi atau KKDW. Semua kementerian, tanpa pengecualian, mesti memain peranan aktif seperti yang telah diaspirasikan,” katanya.

Justeru, beliau mengarahkan supaya Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di setiap kementerian untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan PuTERA35.

Katanya, peranan tersebut akan diperkukuhkan oleh Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) yang harus distruktur semula mengikut kesesuaian masa kini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga mahu peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang lebih strategik.

“Saya menyeru agar semua GLC, GLIC dan entiti korporat strategik tampil sebagai rakan pelaksana utama. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah beri mandat yang jelas, GLC dan GLIC mesti melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dan memperluas rantaian nilai mereka,” ujarnya.

Sebagai langkah ke hadapan, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Sesi Pemukiman Kongres Ekonomi Bumiputera akan dijadikan sebagai acara tahunan tetap bagi melonjak semula agenda pembangunan bumiputera secara kolektif, merentas semua kementerian, agensi dan sektor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN