NEW DELHI: Ramai rakyat India, khususnya yang tinggal berhampiran sempadan dengan Pakistan, mula menyimpan barangan keperluan harian, ubat-ubatan dan petrol serta membatalkan rancangan perjalanan susulan peningkatan mendadak konflik ketenteraan antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu.
Di beberapa bandar utama Punjab seperti Pathankot, Amritsar dan Chandigarh, fenomena pembelian panik kini semakin ketara.
Menurut pemilik kedai runcit, Gagandeep Madan, 42, hampir semua kedai di sekitar sempadan Attari-Wagah berhampiran Amritsar kehabisan stok makanan penting sejak dua hari lalu.
“Pelanggan datang membeli gandum, beras, gula dan kekacang untuk bekalan sebulan. Semua orang mula panik dan mahu bersedia lebih awal,” katanya.
Beberapa media tempatan melaporkan, kawasan pelancongan kini menyaksikan kejatuhan ketara jumlah pelawat selepas lebih 32 lapangan terbang di utara dan barat India ditutup buat sementara waktu.
Sesetengah penduduk di Amritsar turut menyimpan air dalam bekas besar kerana bimbang gangguan bekalan elektrik akan menjejaskan penggunaan pam air bawah tanah.
Perlawanan Liga Kriket India (IPL) yang sedang berlangsung di bandar Dharamshala pada malam 8 Mei lalu dihentikan selepas laporan mengenai serangan dron di kawasan berdekatan.
Sebuah hotel di kawasan peranginan bukit berhampiran Dalhousie terpaksa menyediakan penginapan dan pengangkutan untuk kira-kira 100 peminat kriket yang terkandas.
Sementara itu, Pakistan turut mengumumkan baki perlawanan Pakistan Super League (PSL) dipindahkan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas faktor keselamatan, menurut kenyataan Lembaga Kriket Pakistan (PCB).
Beberapa acara utama lain turut dibatalkan atau ditangguhkan, termasuk Forum Perniagaan EU-Pakistan di Islamabad, Sidang Kemuncak Pelaburan di Lahore dan sambutan Hari Australia di Karachi.-AGENSI










