PETALING JAYA: Polis setakat ini merakam keterangan dua individu berkaitan siasatan dakwaan fitnah membabitkan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sebelum ini menerima dua laporan polis daripada Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar) serta Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan.
Katanya, setakat ini pihak polis merakam keterangan dua pengadu terbabit berkenaan kes tersebut.
“Kita akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, ada pihak mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd. Ekhwan.
Terdahulu media melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat perletakan jawatan Mohd. Ekhwan beberapa hari lepas.
Zambry berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd. Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Mohd. Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.
Beliau juga memaklumkan sudah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung segala fitnah serta tohmahan yang dilontarkan kepadanya.-UTUSAN











