KANGAR: Kilang-kilang padi bumiputera yang suatu masa dahulu cukup gah dan menjadi tumpuan ratusan ribu pesawah untuk menjual hasil tuaian mereka dijangka lenyap sepenuhnya dalam tempoh setahun ini.
Daripada 117 kilang bumiputera yang aktif dan mampu memproses sehingga 1.17 juta tan metrik setahun, kini hanya tinggal tujuh buah sahaja masih bertahan dengan dijangka kesemuanya bakal gulung tikar dalam tempoh terdekat.
Kebanyakan kilang tersebut sudah tidak mampu bertahan berikutan ‘permainan’ kilang-kilang padi besar bukan bumiputera yang mempunyai syarikat pemborong beras sendiri menawarkan harga belian padi yang tinggi sehingga mencecah RM2,000 per tan metrik.
Kilang-kilang besar itu mampu menawarkan harga belian padi cukup tinggi dan tidak masuk akal kerana mereka didakwa menukar beras tempatan kepada import sekali gus mengaut keuntungan besar.
Sedangkan kilang-kilang bumiputera ini berniaga jujur dengan tidak mencampur beras tersebut kerana enggan menipu pengguna.
Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, ketika ini, hanya tinggal beberapa kilang bumiputera yang masih bertahan iaitu antaranya empat di Kedah dan masing-masing satu di Terengganu serta Perak.
Katanya, setiap kilang padi tersebut satu ketika dahulu mampu memproses antara 10,000 sehingga 30,000 tan metrik setahun namun kini satu demi satu kilang mula ‘bungkus’.
Ujarnya, tiga buah kilangnya di sini mengalami kerugian lebih RM10 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini kesan daripada lonjakan harga belian padi daripada kilang-kilang besar bukan bumiputera yang tidak masuk akal itu.
“Dengan keuntungan besar daripada manipulasi beras tempatan dijadikan beras import, mereka (kilang besar) gunakan untuk menaikkan harga padi di lapangan dan secara langsung membunuh pengilang seperti kami yang tidak mahu menipu pengguna dengan menjual beras tempatan sebagai beras import.
“Disebabkan kilang-kilang besar ini bermain harga, kami terpaksa juga membeli padi melebihi harga lantai antara RM1,600 sehingga RM1,850 sedangkan sedar terpaksa menanggung kerugian memandangkan harga siling beras masih pada kadar cukup rendah.
“Sekiranya kerajaan tidak ubah dasar harga siling beras itu dan tidak menetapkan beras pada satu gred sahaja, dalam tempoh setahun ini, semua kilang bumiputera ini akan lenyap,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, kilang padi bumiputera terbesar di negara ini yang beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kilang Dibuk Sdn. Bhd yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis bagi menjual hasil tuaian mereka sudah tidak mampu lagi bertahan berikutan tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi disebalik harga beras masih rendah.
Sebelum itu, akhbar ini juga melaporkan, pengilang-pengilang padi mendakwa sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah sehingga RM900 juta setahun ekoran harga belian padi tinggi disebalik harga beras pula masih rendah. – UTUSAN











